Connect with us

ALHIJRAH NEWS

AZAN SUBUH DUA KALI? PERSOALAN REMY ISHAK JADI RUANG ILMU BUAT MASYARAKAT

UTAMA

AZAN SUBUH DUA KALI? PERSOALAN REMY ISHAK JADI RUANG ILMU BUAT MASYARAKAT

Kedua-dua laungan tersebut membawa tujuan yang tersendiri. Laungan pertama berfungsi sebagai peringatan dan persediaan, manakala laungan kedua menjadi tanda masuknya waktu Subuh.

“Saya selalu terdengar bunyi azan tepat jam 5 pagi walaupun waktu Subuh di Jalan Ampang jam 6:01 pagi. Adakah perkara ini normal atau saya seorang X-Men?”

Demikian persoalan yang dikongsikan pelakon, Datuk Remy Ishak menerusi Threads baru-baru ini. Hantaran itu kemudian mencetuskan perbualan dalam kalangan pengguna media sosial mengenai amalan azan Subuh yang dilaungkan dua kali.

Amalan melaungkan azan Subuh sebanyak dua kali berkait dengan dua orang muazin Baginda iaitu Bilal bin Rabah RA dan Abdullah bin Umm Maktum RA.

Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Bilal melaungkan azan pada waktu malam. Maka Rasulullah SAW bersabda: Makan dan minumlah kalian sehingga Ibn Umm Maktum melaungkan azan. Sesungguhnya dia tidak melaungkan azan sehingga terbit fajar.” Riwayat al-Bukhari (1918)

Hadis tersebut menjelaskan bahawa dua laungan azan itu mempunyai fungsi yang berbeza.

Azan Bilal dilaungkan sebelum masuk waktu Subuh sebagai peringatan bahawa waktu fajar semakin hampir. Pada ketika itu, umat Islam masih berada dalam waktu malam dan bagi mereka yang berpuasa, masih ada ruang untuk meneruskan sahur.

Azan kedua pula dilaungkan oleh Abdullah bin Umm Maktum RA apabila fajar telah terbit. Laungan ini menandakan masuknya waktu Subuh dan dalam konteks puasa, bermulanya waktu menahan diri daripada makan dan minum.

Justeru, berkemundangnya azan sekitar jam 5 pagi sedangkan waktu Subuh ditetapkan pada jam 6:01 pagi, seperti yang didengar Remy Ishak boleh merujuk kepada laungan pertama sebelum masuk waktu Subuh.

Perkara ini penting difahami kerana dua laungan tersebut membawa tujuan yang tersendiri. Laungan pertama berfungsi sebagai peringatan dan persediaan, manakala laungan kedua menjadi tanda masuknya waktu Subuh.

Pertanyaan pelakon asal Melaka itu turut memperlihatkan bagaimana persoalan yang ringkas boleh membuka ruang kepada masyarakat mempelajari sesuatu.

Maka, apabila azan Subuh kedengaran lebih awal daripada waktu Subuh yang tertera dalam takwim, ia tidak semestinya menandakan berlaku kekeliruan pada waktu solat, bahkan kelangsungan sunnah Rasulullah SAW. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in UTAMA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading