
MANCHESTER: Seramai 31 belia Malaysia di bawah Youth of Strength & Happiness (YOSH) tampil sebagai penggerak utama Global Muslim Youth Meet-Up (GMYM) 2026 yang berlangsung di British Muslim Heritage Centre (BMHC), Manchester, United Kingdom pada 16 Ogos lalu.
Mereka memainkan peranan penting dalam mengurus dan menjayakan keseluruhan program, sekali gus membawa kapasiti kepimpinan belia Malaysia ke peringkat antarabangsa.
GMYM 2026 menghimpunkan 57 belia yang terdiri daripada 31 pemimpin belia Malaysia di United Kingdom, Türkiye, Mesir, Jordan dan Malaysia serta 26 peserta dari United Kingdom, termasuk wakil Federation of Student Islamic Societies (FOSIS), BMHC dan komuniti Islam setempat.
Program itu turut disertai peserta dari Türkiye, Mesir, Jordan, Amerika Syarikat, Sepanyol, Indonesia, Pakistan, Mauritania, England dan Scotland.
GMYM 2026 memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu kepimpinan belia, keusahawanan, pendidikan dan pembangunan profesional serta impak sosial.
Lebih signifikan, program berkenaan digerakkan oleh anak muda Malaysia sendiri melalui YOSH dengan bimbingan dan kerjasama MyFundAction, membuktikan belia bukan sekadar penerima manfaat program pembangunan, malah mampu memimpin dan mengurus inisiatif di peringkat antarabangsa.
Daripada membina jaringan dan menyusun program sehingga menghubungkan peserta, institusi serta pemimpin masyarakat di United Kingdom, pengalaman tersebut memberikan medan sebenar kepada belia YOSH untuk menguji kemampuan mereka dalam persekitaran global.
Ia sekali gus memperlihatkan bahawa pembangunan belia tidak seharusnya terhad kepada latihan dan seminar, sebaliknya perlu disusuli peluang sebenar untuk mereka memimpin, mengurus jaringan antarabangsa dan menghasilkan impak.
Dari Malaysia ke Manchester
Sepanjang program, peserta mengikutipelbagai perbincangan berkaitan identiti belia Muslim, kepimpinan, dunia profesional, keusahawanan dan pembangunan masyarakat.
Antara tokoh yang berkongsi pandangan ialah Setiausaha Agung Muslim Council of Britain (MCB), Dr. Wajid Akhter; tokoh pendidikan dan komuniti, Dr. Yusuf Abdul Jobbar; Presiden FOSIS, Sohaib Saleem; Pengasas Spirituality of Business, Omar DaCosta Shahid; penyelidik bidang sains data dan kecerdasan buatan, Muhammad Ali; serta Pengasas Rosebuds Sisters, Aysha Bosher.
Presiden YOSH, Dr. Mohamad Khir bin Johari turut menyampaikan pandangan mengenai identiti, nilai dan tujuan generasi muda Muslim.
Perbincangan tersebut memberi ruang kepada peserta untuk memahami kapasiti yang diperlukan bagi membentuk generasi Muslim yang mampu memimpin, membina kerjaya serta memberi sumbangan kepada masyarakat.
Datuk Bandar Manchester Beri Pengiktirafan
Majlis penutup turut dihadiri The Right Worshipful, The Lord Mayor of Manchester, Councillor Shaukat Ali sebagai Tetamu Kehormat.
Turut hadir Pengerusi British Muslim Heritage Centre, Nasar Mahmood OBE; Presiden YOSH Global, Dr. Mohamad Khir bin Johari; serta Pengasas dan Penasihat Utama MyFundAction, Dr. Mohd Hizul Azri Mohd Noor yang menyertai secara maya.
Penglibatan 31 belia Malaysia sebagai tenaga utama program memperlihatkan keupayaan mereka membina jaringan, mengurus program antarabangsa serta menghubungkan peserta dengan institusi dan komuniti Muslim di United Kingdom.
Dalam konteks bulan kemerdekaan, pencapaian itu turut membawa makna bahawa semangat kemerdekaan bukanlah sekadar mewarisi sebuah negara yang bebas, tetapi membina generasi yang berani melangkaui sempadan, membawa nama Malaysia dan menyumbang kepada masyarakat dunia.– AlHijrah Online