
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta segerakan keputusan pengharaman vape secara menyeluruh bagi membendung penularan cecair peranti itu yang mengandungi bahan psikoaktif sintetik.
Menurut Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, ancaman cecair vape yang dipasarkan menggunakan istilah seperti “Piu Piu” dan “Magic Mushroom”, tidak boleh lagi dianggap sebagai kes terpencil kerana ia semakin dieksploitasi untuk menyembunyikan, mengedar serta mengambil bahan terlarang dalam kalangan generasi muda termasuk pelajar sekolah.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik pendirian Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menuju ke arah pengharaman vape, khususnya peranti sistem terbuka dan menggesa perkara itu dibawa segera ke peringkat Jemaah Menteri.
“Kerajaan perlu segera membawa perkara tersebut kepada keputusan Jemaah Menteri serta mengumumkan garis masa, mekanisme pelaksanaan dan pelan peralihan yang jelas menuju pengharaman vape secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai peningkatan kes, Ahmad Fahmi berkata bagi tahun ini statistik Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM merekodkan 168 kes dengan 267 tangkapan membabitkan cecair dadah sintetik setakat 10 Jun lepas, berbanding 108 kes dan 138 tangkapan yang direkodkan sepanjang tahun lepas.
Beliau berkata perkembangan itu merupakan amaran bahawa sindiket sedang menyesuaikan kaedah pengedaran dadah mengikut budaya dan gaya hidup generasi muda menerusi cecair vape yang mengandungi campuran pelbagai bahan psikoaktif sintetik.
Bagi remaja yang telah terjebak, pendekatan pemulihan menerusi pemeriksaan kesihatan, kaunseling, rawatan ketagihan dan sokongan keluarga perlu diutamakan berbanding tindakan berbentuk hukuman atau stigma semata-mata. — AlHijrah Online.