
KUALA LUMPUR: Penjualan mesin hidrogen yang didakwa mampu menjadi ikhtiar merawat penyakit kronik menerusi media sosial boleh mengelirukan orang awam, malah berisiko mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan.
Menurut Pegawai Perubatan dan Doktor Kesihatan Pekerjaan KPJ Klang Specialist Hospital, Dr Ahmad Syafiq Ishak, penggunaan hidrogen sebagai rawatan perubatan masih berada pada peringkat kajian dan belum mempunyai bukti kukuh yang membolehkan ia dianggap sebagai rawatan standard bagi penyakit kronik.
Katanya, keberkesanan serta kesan jangka panjang penggunaan hidrogen terhadap sel badan masih belum dapat dipastikan sepenuhnya.
“Tidak pasti dan belum sahih dari segi keberkesanan. Kita juga tidak tahu kesan jangka panjang hidrogen kepada sel-sel kita, terutama risiko jangka panjang seperti kanser. Kita perlu pastikan terdapat kajian yang sahih terlebih dahulu sebelum ia boleh disebarkan sebagai rawatan yang sesuai,” katanya.
Orang ramai perlu berwaspada terhadap dakwaan keberkesanan mesin hidrogen, khususnya apabila produk berkenaan dipromosikan sebagai rawatan kepada pelbagai penyakit kronik.
Jelas Dr Ahmad Syafiq, rawatan berasaskan hidrogen sememangnya wujud di beberapa negara, namun penggunaannya masih terhad kepada kajian dan belum diterima sebagai rawatan perubatan standard.
Sehubungan itu, pesakit kronik dinasihatkan supaya tidak menjadikan kaedah berkenaan sebagai pengganti kepada rawatan sedia ada tanpa mendapatkan nasihat doktor.
Selain keberkesanan yang masih dalam kajian, penggunaan mesin hidrogen yang tidak berdaftar turut boleh mengundang risiko keselamatan kepada pengguna.
“Hidrogen merupakan gas yang mudah terbakar pada kepekatan tinggi, sekali gus berpotensi menyebabkan kecederaan sekiranya peranti yang digunakan tidak memenuhi aspek keselamatan,” ulas beliau.
Tambahnya, peranti yang tidak berdaftar juga berkemungkinan mengeluarkan gas lain yang berbahaya, manakala kesannya terhadap pesakit tidak dapat dipastikan.
Dalam pada itu, trend penjualan mesin hidrogen menerusi media sosial dan platform e-dagang yang sedang berleluasa turut menimbulkan kebimbangan kerana ia berpotensi menyasarkan pesakit yang sedang mencari kaedah rawatan alternatif.
Antara kaedah pemasaran yang digunakan termasuk memaparkan testimoni pengguna, sijil yang diragui serta dakwaan keberkesanan yang sukar disahkan. –Alhijrah Online