
IPOH: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak sedang memantau perkembangan insiden kematian seorang murid Tingkatan Tiga di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) pada Rabu.
Dalam kenyataan medianya, JPN Perak memaklumkan bahawa pihaknya turut mengarahkan pihak sekolah supaya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Seorang pelajar disahkan meninggal dunia di sekolah terbabit pada 18 November 2026.
“JPN Perak menzahirkan rasa dukacita yang amat mendalam atas pemergian murid Tingkatan Tiga terbabit,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, JPN Perak turut menyelaras perkhidmatan bimbingan dan kaunseling serta sokongan psikososial kepada murid, guru dan warga sekolah yang terkesan bagi memastikan kesejahteraan emosi mereka diberikan perhatian sewajarnya.
JPN Perak juga memastikan komunikasi dengan keluarga murid dilaksanakan secara berhemah dan penuh empati, selain memberikan bantuan serta sokongan yang bersesuaian.
Orang ramai turut diminta menghormati privasi keluarga dan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, khususnya menerusi media sosial, bagi menjaga sensitiviti keluarga serta kelancaran siasatan.
Terdahulu, seorang pelajar SBP di Kuala Kangsar dipercayai ditemukan meninggal dunia di kawasan sekolah berkenaan pada Rabu.
Bagaimanapun, setakat ini, pihak polis belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kejadian tersebut.
Jenazah mangsa dipercayai dibawa ke Hospital Taiping untuk dibedah siasat. — AlHijrah Online