Connect with us

ALHIJRAH NEWS

SERANGAN SIBER RENTAS NEGARA, SEKTOR KRITIKAL JADI SASARAN

DUNIA

SERANGAN SIBER RENTAS NEGARA, SEKTOR KRITIKAL JADI SASARAN

Pejabat Pendakwa Raya Paris mengesahkan serangan berskala besar itu menyasarkan sistem penyejukan bersambung internet di beberapa rangkaian peruncit makanan utama di Perancis.

Serangan siber terus menjadi ancaman kepada operasi perniagaan dan perkhidmatan awam di peringkat antarabangsa.

Terbaharu, serangan siber itu menyasarkan sistem penyejukan di ratusan pasar raya di Perancis, menyebabkan suhu peti sejuk dan peti beku meningkat sehingga 50 darjah Celsius.

Memetik laporan  Aljazeera , insiden luar biasa itu mengakibatkan kerosakan stok makanan segar dan sejuk beku, malah mencetuskan kebakaran di beberapa premis.

Pihak berkuasa Perancis menjalankan siasatan susulan kebimbangan bahawa serangan seumpama itu turut boleh menjejaskan negara Eropah lain.

Pejabat Pendakwa Raya Paris mengesahkan serangan berskala besar itu menyasarkan sistem penyejukan bersambung internet di beberapa rangkaian peruncit makanan utama di Perancis.

Sistem penyejukan pasar raya lazimnya dikawal melalui panel yang boleh diakses menerusi internet bagi memudahkan penyelenggaraan dari jarak jauh.

Namun, keupayaan akses jarak jauh itu turut mendedahkan sistem kepada risiko pencerobohan sekiranya kelemahan keselamatan tidak ditangani.

PERUNCIT FESYEN AFRIKA SELATAN RUGI € 200,000

Dalam perkembangan berasingan, kumpulan peruncit fesyen Afrika Selatan, The Foschini Group, turut menyiasat insiden keselamatan siber yang menjejaskan operasinya di United Kingdom.

Ketua Coopérative U, Dominique Schelcher, berkata serangan itu hanya melibatkan sebahagian kecil daripada keseluruhan kedai kumpulan berkenaan.

Bagaimanapun, kerugian kewangan akibat insiden itu masih belum dapat dipastikan, dengan anggaran kerugian bagi sebuah kedai kecil boleh mencecah puluhan ribu euro, manakala bagi hipermarket besar, kerugian boleh mencapai 200 ribu euro, iaitu kira-kira 223 ribu dolar Amerika.

PERKHIDMATAN HOSPITAL AWAM SINGAPURA TERJEJAS?

Dalam perkembangan berasingan di Singapura, Channel News Asia (CNA) melaporkan gangguan sistem teknologi maklumat turut menjejaskan beberapa perkhidmatan di hospital awam dan institusi penjagaan kesihatan hari ini.

Agensi teknologi kesihatan negara itu, Synapxe,bagaimanapun  memaklumkan tiada petunjuk setakat ini bahawa gangguan berkenaan berkaitan dengan insiden serangan siber.

Gangguan itu melibatkan ketiga-tiga kluster penjagaan kesihatan awam Singapura, iaitu NHG Health, National University Health System dan SingHealth.

Antara perkhidmatan terjejas termasuk urusan temu janji pesakit melalui pusat panggilan, pendaftaran pelawat dan pertanyaan bil.

Synapxe memaklumkan pasukan teknikalnya sedang berusaha segera untuk menyelesaikan masalah dan memulihkan perkhidmatan, yang kemudiannya dilaporkan pulih secara berperingkat.

Gangguan itu turut menjejaskan urusan di beberapa farmasi hospital, termasuk sistem pembayaran dan pengambilan ubat-ubatan.– AlhijrahOnline


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading