
Individu yang dikaitkan dengan ritual agama bukan Islam, Aliff Daniel, 21 ditahan bersama ibunya tengah hari tadi.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad dalam satu kenyataan berkata, tangkapan dibuat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menerusi waran tangkap bersaling (tindakan bersaling) yang dikeluarkan Mahkamah Rendah Shah Alam.
Kedua-dua Orang Yang Disyaki (OYDS) kini sedang disiasat JAIS mengikut Seksyen 4 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
“Berdasarkan risikan JAIS selepas kes melibatkan OYDS ini tular, JAIS juga dijangka akan memanggil sekurang-kurangnya 14 individu lain bagi membantu siasatan”. katanya
JAIS memandang serius perkara ini dan akan memastikan setiap tindakan diambil berdasarkan bidang kuasa, undang-undang dan fakta kes.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, sebaliknya memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan.
Sebelum ini, tular di media sosial tindakan remaja berkenaan yang dikaitkan dengan unsur pemujaan serta penggunaan mantera tertentu.—AlhijrahOnline