DALAM NEGARA
BELANJAWAN 2027 BUKTI KERAJAAN MADANI TEGUH MEMARTABATKAN SYIAR ISLAM
Belanjawan MADANI 2027 memperlihatkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memartabatkan syiar Islam menerusi peningkatan peruntukan hal ehwal agama kepada RM3.1 bilion, pemerkasaan pendidikan Islam, kebajikan guru KAFA dan imam serta pembangunan industri halal negara.

Syukur alhamdulillah, kita melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas limpahan rahmat dan inayah-Nya kerana agenda pemartabatan syiar Islam terus diberikan perhatian dalam Belanjawan MADANI 2027.
Pembangunan negara yang diusahakan oleh Kerajaan hari ini tidak hanya tertumpu kepada kemajuan fizikal dan kestabilan ekonomi semata-mata, sebaliknya turut berteraskan pengukuhan nilai, akhlak serta ketinggian syiar agama.
Firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr, ayat 18:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.”
Waad nasional
Bertemakan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ dan berpaksikan lapan lunas utama, Belanjawan ini telah dibingkaikan oleh YAB Perdana Menteri sebagai satu ‘Waad Nasional’.
Perkataan ‘waad’ dalam bahasa Arab bermaksud janji atau ikrar. Justeru, ia merupakan satu ikatan moral kerajaan untuk terus berkhidmat demi kesejahteraan rakyat.
Menerusi kerangka Ekonomi MADANI, kita bertekad untuk memperkasa rakyat dengan meningkatkan potensi ekonomi negara dan memperbaiki taraf hidup rakyat, di samping melaksanakan pembaharuan tatakelola yang telus.
Usaha ini diperkukuh melalui pelaksanaan inisiatif seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), penyasaran subsidi, pelarasan gaji minimum serta Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Malaysia berada pada kedudukan terbaik
Apabila kita bercakap mengenai pemartabatan syiar Islam dan kesejahteraan rakyat, kedua-duanya tidak dapat dipisahkan daripada kestabilan serta kekuatan ekonomi negara. Ini kerana prestasi ekonomi merupakan antara petunjuk utama yang mencerminkan keberkesanan tatakelola serta dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan.
Alhamdulillah, melalui komitmen dan tanggungjawab yang tinggi, jumlah keseluruhan dana yang digerakkan melalui Belanjawan 2027 telah ditingkatkan daripada RM470 bilion kepada RM510 bilion. Peningkatan ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan memakmurkan kehidupan rakyat.
Walaupun perbelanjaan bertambah, disiplin fiskal atau pengurusan kewangan negara yang berhemah kekal menjadi keutamaan kita.
Kerajaan berjaya menurunkan kadar defisit fiskal negara secara berperingkat daripada 5.5% pada tahun 2022 kepada 3.7% pada tahun 2025, dengan kadar tersebut diunjurkan pada 3.6% bagi tahun 2026. Kita juga berada pada landasan kukuh untuk mencapai sasaran 3.3% menjelang tahun 2027.
Prestasi ini diperkukuh lagi apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.0% pada suku kedua 2026. Bagi tahun 2027, ekonomi negara diunjurkan berkembang pada kadar 4.2% hingga 5.2%, berbanding unjuran pertumbuhan ekonomi dunia sebanyak 3.4%.
Pada masa yang sama, kadar inflasi dijangka kekal terkawal pada lingkungan 1.8% hingga 2.8% bagi tahun 2027, manakala kadar pengangguran mencatatkan penurunan kepada 2.9% pada suku pertama 2026.
Nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK pula dijangka kekal terurus pada paras 63.7% menjelang tahun 2027.
Kejayaan ekonomi ini sentiasa diimbangi dengan keutamaan Kerajaan untuk memastikan hasil kemakmuran negara turut dinikmati secara langsung oleh rakyat di peringkat akar umbi.
Selepas kejayaan pelarasan SSPA yang menyaksikan kenaikan gaji penjawat awam sehingga 15%, Kerajaan meneruskan langkah meningkatkan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027.
Pada masa yang sama, usaha kita dalam membasmi kemiskinan turut membuahkan hasil apabila kadar kemiskinan tegar yang berada pada paras 0.2% pada tahun 2022 berjaya diturunkan kepada hanya 0.09% pada tahun 2024.
Pencapaian ini membuktikan bahawa kebajikan segenap lapisan masyarakat sentiasa diberikan perhatian.
Peningkatan peruntukan berkaitan syiar Islam
Selari dengan komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk terus mengangkat dan memartabatkan syiar Islam di bumi Malaysia, peruntukan bagi Hal Ehwal Agama telah ditingkatkan secara signifikan daripada RM2.6 bilion kepada RM3.1 bilion.
Peningkatan sebanyak 19.23% ini memperlihatkan keutamaan serta keprihatinan mendalam Kerajaan dalam memastikan agenda pembangunan Islam dilaksanakan secara lebih komprehensif, berkesan, dan berimpak tinggi demi kemaslahatan seluruh ummah.
Daripada jumlah keseluruhan peruntukan tersebut, sebanyak 85.4% disediakan bagi perbelanjaan pengurusan, manakala 14.6% lagi dikhususkan untuk perbelanjaan pembangunan.
Pemerkasaan institusi pendidikan Islam
Dalam aspek pemerkasaan pendidikan Islam, Kerajaan MADANI terus memberikan tumpuan khusus dengan memperuntukkan RM200 juta bagi sekolah agama rakyat, institusi tahfiz dan sekolah pondok yang berdaftar di bawah JAKIM.
Skop bantuan ini kini diperluas untuk merangkumi kos operasi institusi berkenaan.
Bagi memelihara khazanah keilmuan turath pula, Kerajaan telah menubuhkan Majlis Penasihat Pondok dan Turath Malaysia dengan penglibatan tokoh ulama antarabangsa seperti Syeikh Ali Jumu’ah dan Syeikh Idris al-Fasi.
Kerajaan turut memperkenalkan Sijil Turath Malaysia bagi memastikan institusi pondok terus berkembang dan kekal relevan.
Selari dengan perkembangan teknologi, kerjasama antara JAKIM dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) turut digerakkan bagi menyediakan peranti serta latihan kemahiran digital kepada guru dan pelajar di lebih 300 buah sekolah pondok di seluruh negara.
Usaha ini diharap dapat melahirkan generasi ulama dan penuntut ilmu yang berdaya saing serta mampu menguasai teknologi moden.
Kebajikan petugas agama
Di samping itu, Kerajaan sentiasa menyanjung tinggi dan menghargai pengorbanan para asatizah serta petugas agama di peringkat akar umbi yang menjadi tiang seri pengimarahan syiar Islam di seluruh negara.
Sebagai tanda penghargaan dan usaha menjaga kebajikan mereka, Kerajaan bersetuju menyalurkan sumbangan khas sebanyak RM750 kepada 70,000 guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut.
Selain itu, pengorbanan 500 guru KAFA yang mendidik murid berkeperluan khas, termasuk melalui bahasa isyarat dan al-Quran Braille, turut diiktiraf menerusi pemberian insentif khas sebanyak RM150 sebulan.
Kebajikan para petugas agama ini terus diperkukuh apabila Kerajaan turut menanggung sepenuhnya caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi 40,000 imam, bilal, tok siak, noja, marbut dan guru takmir.
Lembaga Tabung Haji bertindak sebagai agensi pelaksana bagi memastikan mereka mendapat perlindungan keselamatan sosial secara berterusan, sekali gus memberikan ketenangan ketika menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat.
Semangat syariah dalam undang-undang
Dari sudut perundangan dan keadilan, pengumuman YAB Perdana Menteri mengenai cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan bagi mewajibkan pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah membayar pampasan kepada mangsa atau keluarga mereka sememangnya disambut dengan penuh syukur.
Pindaan ini dilihat secara tidak langsung mengandungi elemen yang selari dengan konsep diyat dalam perundangan Islam, iaitu pemberian pampasan kepada mangsa atau waris sebagai salah satu bentuk pengiktirafan terhadap hak pihak yang terkesan akibat sesuatu perbuatan yang memudaratkan.
Usaha ini juga seiring dengan perhatian yang telah diberikan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) terhadap penerokaan konsep diyat dalam kes kemalangan jalan raya di Malaysia.
Pada 11 Februari 2026, kami telah mengadakan satu perbincangan meja bulat mengenai konsep diyat di Putrajaya dengan menghimpunkan para mufti, tokoh akademik, pakar perundangan serta pemain industri takaful.
Perbincangan ini bertujuan meneliti kemungkinan dan kaedah pelaksanaan diyat secara menyeluruh dalam kes kemalangan jalan raya, dengan mengambil kira kerangka perundangan, prinsip syariah serta kepentingan mangsa dan waris.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan untuk meneliti bagaimana prinsip keadilan dalam Islam dapat menyumbang kepada pendekatan yang lebih menyeluruh bagi memastikan hak mangsa terbela.
Pada masa yang sama, tanggungjawab pihak yang menyebabkan kemudaratan turut diberikan perhatian sewajarnya.
Pengukuhan ekonomi Islam dan halal
Dalam usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Islam dunia, Kerajaan terus memacu pertumbuhan kewangan syariah dan industri halal menerusi pelbagai insentif cukai dan bantuan strategik.
Bagi menggalakkan sektor pengurusan dana syariah, penyedia perkhidmatan pengurusan dana patuh syariah diberikan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 40% bagi tahun taksiran 2028 hingga 2030.
Sementara itu, pembiayaan syariah yang mampan terus diperkasa menerusi potongan cukai atas kos penerbitan Sukuk Prisma yang diluluskan Suruhanjaya Sekuriti bagi tahun taksiran 2027 hingga 2030.
Pengecualian cukai pendapatan turut diberikan bagi geran di bawah Skim Sukuk SRI dan Geran Bon mulai 1 Januari 2027.
Bagi membangunkan industri halal, Kerajaan menyediakan geran padanan sehingga RM5,000 kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mahu mendapatkan sijil halal buat kali pertama.
Selain itu, geran RM25,000 turut disediakan untuk memperkasa PMKS halal dalam bidang berpotensi tinggi seperti kosmetik dan farmaseutikal.
Usaha ini dilengkapkan lagi dengan kemudahan kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memilih Simpanan Shariah untuk membayar zakat secara terus daripada dividen.
Kemudahan ini selari dengan pelaksanaan yang telah diperkenalkan di Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Lembaga Tabung Haji bagi memudahkan rakyat menunaikan kewajipan beragama.
Islam subur dan mekar di Malaysia
Budaya ilmu dan dakwah terus dihidupkan menerusi pelbagai acara berskala antarabangsa seperti Festival Turath Islami Malaysia, International Sama’ Hadith, Perhimpunan Akademi Fiqh Islam Antarabangsa Ke-27 (27th International Islamic Fiqh Academy), Konvensyen Masjid Nusantara, Pameran Khat Sedunia, Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Antarabangsa (MTHQA) serta Projek Terjemahan Rasmi Sahih Bukhari.
Keupayaan penyiaran media Islam turut berada pada tahap membanggakan menerusi TV AlHijrah, penyiaran JAKIM, Radio IKIM dan Astro Oasis.
Pada masa sama, Kompleks Nasyrul Quran di Presint 14, Putrajaya kekal megah sebagai pusat percetakan al-Quran kedua terbesar di dunia selepas Madinah.
Kompleks ini telah mencetak lebih sejuta naskhah al-Quran berserta terjemahan dalam lebih 30 bahasa.
Seiring dengan itu, agenda pendidikan Islam terus dimartabatkan menerusi Program Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang kini menyambut ulang tahun ke-36 penubuhannya sejak tahun 1990.
Sepanjang tempoh 1990 hingga 2026, bilangan guru KAFA meningkat daripada 5,830 orang kepada 36,500 orang.
Jumlah murid pula berkembang daripada 169,330 orang kepada 1.4 juta murid, termasuk murid KAFA berkeperluan khas.
Di pentas antarabangsa, kepemimpinan Malaysia dalam industri dan pembangunan ekosistem Islam terus berada pada kedudukan terbaik dunia.
Dalam industri halal dan pelancongan, Malaysia terus terkehadapan apabila dinobatkan sebagai Destinasi Pelancongan Mesra Muslim Terbaik menerusi Global Muslim Travel Index (GMTI) 2026 buat tahun ke-11 berturut-turut.
Pengurusan haji negara menerusi Lembaga Tabung Haji (TH) pula kekal menjadi penanda aras global apabila merangkul Anugerah Labbaitom buat kali kelima berturut-turut.
TH turut menerima pengiktirafan tertinggi Diamond Award buat kali kedua berturut-turut daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi musim haji 1447H/2026M.
Dalam sektor kewangan Islam, Malaysia terus unggul apabila menduduki tempat pertama dunia buat kali ke-12 berturut-turut berdasarkan Indikator Pembangunan Kewangan Islam (IFDI) 2024.
Malaysia mencatatkan skor tertinggi sebanyak 144 mata, mengatasi Arab Saudi (119), Emiriah Arab Bersatu (88), Indonesia (85) dan Pakistan (75).
Di samping itu, tadbir urus zakat dan institusi wakaf negara terus menjadi contoh di peringkat antarabangsa.
Melengkapi kemajuan syiar Islam ini, aspek kepimpinan dan profesionalisme terus diperkukuh oleh institusi pemikir utama seperti IKIM, ILIM, IAIS dan JAKIM.
Institusi-institusi ini memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran ummah yang maju dan progresif.
Kesimpulan
Di tengah-tengah kehangatan usaha dan iltizam Kerajaan membentangkan agenda pembangunan ini, tidak dinafikan terdapat juga pihak yang mempersoalkan serta memperkecilkan keupayaan Belanjawan 2027.
Namun, tanggapan sedemikian mengingatkan saya kepada pesanan dan kata-kata hikmah cendekiawan ulung, Pak Natsir:
“Yang senang kita buat sekarang, yang susah kita buat nanti, yang mustahil kita buat esok. Ada yang bertanya kenapa mustahil pun dibuat esok? Dia bilang mustahil itu pada perkiraan hari ini; esok mungkin sudah tidak lagi mustahil.”
Ungkapan ini mengajar kita bahawa segala pembaharuan besar dan usaha berani yang kelihatan sukar hari ini mampu menjadi kenyataan dan membuahkan hasil melalui tekad, perancangan rapi serta usaha yang tidak mengenal erti putus asa.
Akhir kata, saya ingin menyimpulkan bahawa kerangka Belanjawan 2027 ini digubal berasaskan falsafah yang amat mendalam, iaitu cita-cita yang menggapai ke langit dan mengakar di bumi.
Kita berhasrat meletakkan kedudukan ekonomi serta syiar Islam negara di mercu kejayaan tertinggi dengan wawasan yang jauh ke hadapan.
Pada masa yang sama, seluruh keutamaan dan pelaksanaan dasar kita kekal berpijak di bumi nyata demi memelihara kebajikan serta kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.
Semoga segala usaha murni ini sentiasa diberkati Allah SWT.
Dr Zulkifli bin Hasan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Related
Discover more from ALHIJRAH NEWS
Subscribe to get the latest posts sent to your email.
