VAKSINASI BERJAYA TURUNKAN KES KEMASUKAN HOSPITAL DAN ICU

KUALA LUMPUR: Suntikan dos vaksin COVID-19 yang semakin meningkat setiap hari telah memberi kesan positif dengan berjaya menurunkan kadar kes kemasukan ke hospital dan penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penurunan itu dapat dilihat di Hospital Sungai Buloh selepas kerajaan melaksanakan Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang untuk mempercepat vaksinasi dalam kalangan penduduk dewasa.

“Kalau kita perhatikan kategori empat dan lima kemasukan ke Hospital Sungai Buloh mengikut umur, kita dapati selepas pelaksanaan Operasi Lonjakan Kapasiti Lembah Klang, pada minggu ke-30 kes semakin menurun.

“Ketika kita memberikan vaksin pada fasa dua kepada mereka yang berusia 60 tahun ke atas kita telah lihat penurunan kes iaitu selepas minggu ke-21.

“Apabila Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang, kita lihat sekarang ini mereka yang berusia 40 hingga 59 tahun menurun dan 20 hingga 39 juga ada penurunan. Ini menunjukkan kesan vaksinasi telah berjaya menurunkan kes kemasukan ke hospital dan juga penggunaan katil-katil ICU,” katanya dalam Sidang Media Khas Kementerian Kesihatan Malaysia di Putrajaya pada 13 Ogos 2021.

Ujarnya, vaksinasi juga mengurangkan simptom keparahan mereka yang dijangkiti COVID-19 dengan hanya tiga kes daripada petugas kesihatan yang dijangkiti virus itu berada dalam kategori lima iaitu dua daripadanya meninggal dunia manakala seorang lagi masih dirawat di ICU serta diberi bantuan pernafasan.

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV), setakat 13 Ogos 2021 sejumlah 26,851,765 dos vaksin telah diberikan kepada penduduk di negara ini.

Daripada jumlah itu 51.2 peratus populasi telah menerima dos pertama manakala 31.1 peratus telah lengkap dua dos vaksin. — AlHijrah Online

Leave a Reply