VIDEO MUZIK HARI RAYA AHLI PERNIAGAAN AKAN DIRUJUK KEPADA PIHAK BERKUASA

Gambar Fail – Bernama

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad menegaskan video muzik hari raya milik seorang ahli perniagaan yang dilihat tidak sesuai dengan budaya dan masyarakat negara ini akan dibawa kepada pihak berkuasa.

Katanya, video tersebut juga wajar dikeluarkan dari semua platform media sosial.

“Ternyata terdapat perdebatan dan perbincangan yang agak panas di kalangan rakyat Malaysia terhadap klip video ini, yang diringi watak penari yang jauh daripada adab ketimuran dan ajaran Islam.

“Pastinya saya kira kurang sesuai untuk dikaitkan dengan kemenangan umat Islam pada bulan Syawal kelak setelah kita menempuh ujian dan tarbiyah di dalam bulan Ramadan.

“Saya mengajak semua rakyat Malaysia dan seluruh umat Islam khususnya untuk kita menjaga sensitiviti kepada perkara yang berkaitan dengan agama dan menjaga batasan terhadap hiburan yang kita mahu tonjolkan kepada masyarakat. Apatah lagi negara kita baru nak pulih daripada ingatan Allah terhadap bala COVID-19 yang melanda seluruh dunia,” katanya dalam catatan di Facebook rasminya hari ini.

Tambah beliau peluang dan rezeki yang Allah berikan sebagai seorang yang berpengaruh perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk mengajak umat Islam kepada perkara lebih takutkan Allah serta menjauhi tingkah laku yang menjarakkan diri dengan ketaqwaan dan reda Allah SWT, lebih- lebih lagi pada bulan penuh mulia ini.

Ujarnya video tersebut telah dirujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk dibawa kepada pihak berkuasa berkaitan.

Idris dalam pada itu berkata jika berpeluang, beliau ingin mengadakan pertemuan dengan pemilik video terbabit sebagai tanda ingatan dan ukhwah sesama Islam. – AlHijrah Online

Leave a Reply