VIDEO MUZIK HARI RAYA BERUNSUR LGBT CEMAR KESUCIAN RAMADAN

KUALA LUMPUR: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) kesal atas penyebaran video muzik hari raya seorang usahawan kosmetik terkenal baru-baru ini yang secara jelas mempromosi budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Yang Dipertua YADIM, Nasrudin Hassan berkata, video tersebut bukan sahaja mengganggu sensitiviti rakyat di negara ini bahkan lebih parah dari itu telah mencemarkan kesucian bulan Ramadan yang telah memasuki fasa 10 malam terakhir kini.

“Tumpuan umat Islam yang sewajarnya diberikan untuk memburu Lailatul Qadar dalam tempoh ini seakan cuba diganggu dengan penyebaran video muzik tersebut.

“Usahawan yang terkenal konsisten dalam mengeluarkan kandungan-kandungan medianya yang menyinggung sensitiviti rakyat sebelum ini dilihat telah melampaui batasan norma murni masyarakat di Malaysia dengan mengeluarkan video muzik yang mengangkat budaya LGBT yang bukan sahaja dipandang jijik oleh ajaran Islam, bahkan menyongsang arus budaya sebenar masyarakat pelbagai agama dan bangsa di Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Jesteru katanya, YADIM menyeru Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan pihak berkuasa berkaitan untuk mengambil tindakan yang paling tegas terhadap penyebaran video muzik tersebut.

“Kita tidak boleh mengizinkan video songsang tersebut dihidangkan sebagai halwa hiburan hari raya kita di Malaysia terutamanya kepada anak-anak dan golongan muda,” katanya.

YADIM dalam pada itu mengalu-alukan penggiat seni untuk bersama-sama menyatakan bantahan terhadap tindakan yang menjatuhkan imej seni tanah air. – AlHijrah Online

Leave a Reply