WANITA MAUT SELEPAS CUBA TIKAM ANAK OKU

MELAKA: Seorang wanita ditemukan meninggal dunia dengan beberapa kesan tikaman di bahagian perut di Taman Kota Laksamana, pada Rabu lalu.
Dalam kejadian pada jam 3:30 petang itu, wanita berusia 56 tahun berkenaan didakwa terlebih dahulu cuba membunuh anak lelakinya yang juga orang kurang upaya (OKU) yang berusia 26 tahun.
Menurut salah seorang ahli keluarga mangsa, dia mengetahui mengenai kejadian selepas menerima panggilan yang memintanya ke rumah mangsa.
Sebaik tiba, dia melihat mangsa telah tertiarap di ruang tamu dalam keadaan berlumuran darah manakala anak mangsa cedera pada leher.
Tambahnya anak mangsa memaklumkan sebelum kejadian berlaku ibunya menyuruh untuk memakan ubat tahan sakit dan tidur.
Namun tidak lama kemudian, ibunya bertindak secara tiba-tiba dengan menikam lehernya menggunakan pisau namun dia sempat melarikan diri dengan mengurung diri di dalam bilik.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Siasatan lanjut masih dijalankan.–AlHijrah Online