WANITA MENINGGAL DUNIA DILANGGAR TRELER SELEPAS HANTAR ANAK SEKOLAH

Gambar di lokasi kemalangan – foto / PDRM

TAPAH: Seorang wanita meninggal dunia selepas motosikal dinaikinya terlibat kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 57 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 7.15 pagi itu, mangsa Shahriza Ishak, 39, dilapor baru menghantar anaknya ke sekolah dan dalam perjalanan pulang ke rumah bagi mengambil seorang lagi anaknya untuk dihantar ke sekolah.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa bergesel dengan treler menyebabkan wanita jatuh di atas jalan raya dan diseret oleh treler tersebut.

Ia menyebabkan mangsa cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut laporan Sinar Harian, ujian saringan air kencing mendapati pemandu treler berusia 36 tahun terbabit positif dadah jenis methamphetamine dan lelaki itu telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – AlHijrah Online

Leave a Reply