
GAZA: Sekurang-kurangnya 21 orang termasuk 11 kanak-kanak dan enam wanita maut selepas sebuah bangunan kediaman enam tingkat yang rosak akibat serangan udara Israel runtuh di barat Bandar Gaza, pada Rabu.
Lebih 25 lagi mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian berhampiran ibu pejabat Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) itu.
Jurucakap pertahanan awam Gaza, Mahmoud Basal berkata bangunan Al-Saada yang menempatkan kira-kira 100 pelarian itu runtuh pada awal pagi.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat yang berlangsung selama 16 jam berjaya mengeluarkan 21 mayat serta menyelamatkan 45 orang daripada runtuhan.
Seramai 35 lagi penghuni bangunan itu pula berjaya menyelamatkan diri, katanya.
Puluhan ahli keluarga mangsa berkumpul di lokasi kejadian, dengan sebahagian daripada mereka berusaha mencari mangsa menggunakan tangan selepas bangunan tersebut musnah akibat runtuhan.
Louay al-Ajla, 54, berkata hampir 10 anggota keluarganya terkorban dalam kejadian itu.
“Saya mendapat berita pada waktu subuh. Ia satu tamparan hebat yang menyayat hati,” katanya.
Pihak berkuasa Palestin mendakwa operasi menyelamat berdepan kesukaran susulan sekatan terhadap kemasukan jentera berat dan peralatan yang diperlukan.
Pejabat media kendalian Hamas di Gaza turut mendakwa lebih 8,500 orang yang dilaporkan “hilang” masih tertimbus di bawah runtuhan di seluruh Semenanjung Gaza akibat kekurangan akses kepada jentera berat dan peralatan menyelamat.
Menurut pejabat itu, ribuan bangunan yang mengalami kerosakan kini menjadi ancaman dan disifatkan sebagai “bom jangka.”
Basal berkata lebih 2,000 bangunan kediaman juga berada dalam keadaan berisiko runtuh ketika musim sejuk semakin hampir.
Beliau turut menyeru pihak yang dipanggil “Lembaga Keamanan” serta negara-negara yang menjamin gencatan senjata agar membantu membolehkan peralatan menyelamat dibawa masuk ke Gaza.
Pada masa sama, beliau memberi amaran keadaan itu boleh mencetuskan “bencana besar dalam masa terdekat” sekiranya tindakan segera tidak diambil.
Runtuhan bangunan berkenaan berlaku ketika pelanggaran gencatan senjata masih berterusan, selain rundingan antara Hamas dan Israel dilaporkan belum menunjukkan kemajuan walaupun perjanjian gencatan senjata telah berkuat kuasa sejak Oktober 2025. – AlHijrah Online.