Connect with us

ALHIJRAH NEWS

RCI TH DIBENTANG DEMI NEGARA, BUKAN SENJATA POLITIK – PERDANA MENTERI

UTAMA

RCI TH DIBENTANG DEMI NEGARA, BUKAN SENJATA POLITIK – PERDANA MENTERI

Perdana Menteri menegaskan pembentangan laporan RCI Tabung Haji yang membabitkan anggaran kerugian RM12.5 bilion dibuat demi kepentingan negara, bukannya bermotif politik atau berkaitan pilihan raya.

KUALA LUMPUR: Keputusan membentangkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) yang membabitkan anggaran kerugian RM12.5 bilion dibuat demi kepentingan bangsa dan negara, bukannya bermotif politik atau berkaitan pilihan raya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan mendedahkan perkara itu dibuat secara bersama oleh Jemaah Menteri selepas mengambil kira kesediaan TH.

Menurutnya, pembentangan laporan berkenaan sebelum ini ditangguhkan atas permintaan pengurusan TH bagi memberi ruang kepada penstrukturan semula perniagaan dan pelan penyelesaian untuk memulihkan kedudukan kewangan institusi berkenaan.

“Tabung Haji minta tolong jangan hebahkan sekarang (pada waktu itu). Kalau kita hebah sekarang, masalah, tak ada penyelesaian, orang akan lari (dan) Tabung Haji akan lumpuh. Itu dicadangkan oleh Lembaga Tabung Haji,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi audio siar “SembangOhhYeahh” bertajuk “Eps Khas: Siapa Sebenarnya Anwar Ibrahim, Di Sebalik Gelaran PMX?” yang disiarkan di YouTube, hari ini.

Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain turut pernah hadir ke mesyuarat Kabinet bagi memberi penjelasan mengenai situasi kewangan serta cadangan penyelesaian sebelum laporan berkenaan dibentangkan.

Beliau turut menolak dakwaan pihak tertentu bahawa pembentangan laporan RCI TH mempunyai kaitan dengan jadual Pilihan Raya Negeri atau Pilihan Raya Umum.

Menurutnya, proses pilihan raya negeri yang berlangsung secara berturut-turut tidak seharusnya dijadikan alasan untuk terus menangguhkan laporan itu kerana negara memerlukan keputusan dan tindakan tegas bagi mengembalikan integriti institusi berkenaan.

Impak kerugian TH amat besar kerana membabitkan dana yang sepatutnya memberi manfaat kepada jutaan pendeposit termasuk jemaah haji, petani, nelayan dan generasi muda.

Pembentangan laporan RCI TH di Parlimen juga, katanya, merupakan langkah telus bagi membolehkan isu berkenaan dibahaskan secara terbuka.

Anwar turut menyatakan kesediaannya sekiranya siasatan mahu diperluaskan kepada tempoh pentadbiran kerajaan pimpinannya.

“(Ada cadangan) jangan berhenti setakat 2020 sebab orang tanya juga apa yang berlaku semasa saya Perdana Menteri. Saya kata silakan (kerana) kita kalau tak curi wang, kita tak takut. Siasatlah banyak mana pun,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan tidak akan campur tangan dalam urusan pendakwaan atau penentuan hukuman dengan perkara berkenaan diserahkan kepada agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala keputusan kes ditentukan badan kehakiman.

Anwar berkata beliau memahami keperitan ditindas dan tidak akan membiarkan proses perundangan di bawah pentadbirannya digunakan untuk menzalimi mana-mana pihak.

Mengenai teguran terhadap pentadbirannya, kerajaan sentiasa terbuka menerima kritikan bagi membaiki kelemahan, selain menyeru rakyat menyokong usaha membanteras rasuah dan perpecahan.

Laporan RCI yang diterbitkan pada 29 Julai lalu mengandungi pelbagai dapatan berkaitan pengurusan dan tadbir urus TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Sidang khas Dewan Rakyat turut diadakan pada 11 Ogos lalu bagi membahaskan laporan berkenaan. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in UTAMA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading