1,300 UMAT ISLAM DARI 90 NEGARA TUNAI HAJI IHSAN PEMERINTAH ARAB SAUDI

MAKKAH: Agensi Media Saudi (SPA) melaporkan, sejumlah 1,300 bakal haji akan menunaikan rukun Islam kelima itu, di bawah Program Khas Tetamu Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al Saud.
Kesemua jemaah berkenaan datang dari 90 negara di seluruh pelusuk dunia, termasuk Malaysia yang disertai 20 bakal Haji, yang terdiri daripada ahli perniagaan, tokoh akademik, dan wakil agensi media.
Selepas tiga tahun, program khas ini diaktifkan semula selepas pandemik COVID-19 melanda dunia pada 2020 dan 2021. Tahun 2022 pula menyaksikan tiada jemputan diterima untuk rakyat Malaysia.
Menurut Menteri Hal Ehwal Islam Arab Saudi, Sheikh Abdul Latif Al-Sheikh, antara matlamat utama program khas berkenaan adalah bagi mengukuhkan hubungan Arab Saudi dengan negara-negara peserta.
Program Khas Tetamu Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al Saud ini diadakan setiap tahun, dengan tajaan sepenuhnya daripada pemerintah Arab Saudi itu.
Tajaan merangkumi tiket penerbangan, penginapan, makan minum serta keperluan ketika Masyair.
“Program ini dilancarkan setiap tahun dan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Arab Saudi. Ia membolehkan ribuan umat Islam dari seluruh dunia mengerjakan Haji dengan lebih sistematik dan dengan perkhidmatan bermutu tinggi,” jelas Sheikh Abdul Latif yang dipetik SPA.
Sehingga 21 Jun lalu, sejumlah 656 jemaah terpilih dari 51 negara telah tiba di Arab Saudi bagi menunaikan Haji.
Kemuncak Haji musim ini akan bermula 26 Jun ini dan berakhir 1 Julai depan, dengan penetapan 27 Jun sebagai hari Wukuf, manakala 28 Jun diisytihar sebagai tarikh Aidiladha di Arab Saudi.
Negara itu juga menjangkakan lebih dua juta jemaah akan membanjiri Makkah untuk musim haji 1444 Hijrah ini.–Alhijrah Online