15,573 KES POSITIF HARIAN, TERTINGGI DALAM SEJARAH NEGARA

Sumber Gambar: AFP

PUTRAJAYA: Sejumlah 15,573 kes positif baharu harian dicatatkan hari ini, sekali gus menjadikannya jumlah tertinggi sejak pandemik COVID-19 melanda di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes harian tersebut menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 kepada 980,491 kes.

Menurutnya, Selangor masih merekodkan kes positif negeri tertinggi iaitu sebanyak 7,672 kes manakala Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur berjumlah 2,063 kes.

Dalam perkembangan yang sama, Kedah turut mencatatkan kes sebanyak 937 kes, Johor 722 kes, Negeri Sembilan 682 kes, Pulau Pinang 530 kes dan Sabah 516 kes.

Sementara itu, Sarawak merekodkan 461 kes, Pahang 457 kes, Melaka 452 kes, Perak 415 kes, Kelantan 372 kes dan Terengganu 229 kes.

Noor Hisham berkata, terdapat beberapa negeri yang merekodkan kes di bawah tiga angka iaitu WP Putrajaya (41 kes), WP Labuan (21 kes) dan Perlis (3).—AlHijrah Online

Leave a Reply