BORANG PENDAFTARAN ‘VAKSIN PFIZER, KUOTA TMJ’ DISAHKAN PALSU

JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menafikan kewujudan borang pendaftaran ‘Vaksin Pfizer, Kuota TMJ’ adalah palsu dan tidak benar.

Dalam kenyataannya, MBJB memaklumkan ia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai borang tersebut sebagai borang pendaftaran vaksin jenis Pfizer di bawah kuota mana-mana pihak.

“Borang yang ditularkan itu adalah borang pendaftaran vaksin yang digunakan oleh urusetia Southern Volunteers Johor Bahru bagi membantu mendaftarkan warga bandar raya Johor Bahru yang masih belum mendaftar bagi pengambilan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera atau menerusi laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

“Southern Volunteers Johor Bahru turut menggunakan platform laman sesawang JKJAV bagi menyemak dan mendaftarkan orang awam yang belum mendaftar vaksin,” menurut kenyataan itu.

MBJB turut menafikan sebarang makluman yang mendakwa pendaftaran vaksin melalui borang urusetia Southern Volunteers Johor Bahru itu lebih diutamakan untuk pemberian vaksin berbanding kaedah pendaftaran sendiri melalui aplikasi MySejahtera atau laman web JKJAV.

Dalam perkembangan sama, seramai 30,008 orang warga bandar raya Johor Bahru berjaya didaftarkan bagi pengambilan vaksin COVID-19.

Sebelum ini, tular di media sosial berkenaan mesej yang mengatakan orang ramai boleh mengisi borang pendaftaran ‘Vaksin Pfizer, Kuota TMJ’ bagi mendapatkan suntikan vaksin.—AlHijrah Online

Leave a Reply