WARDEN DIDAKWA ROGOL PENGHUNI PUSAT JAGAAN

IPOH: Seorang warden pusat jagaan swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini, atas pertuduhan merogol seorang penghuni pusat itu pada Oktober tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Irang @ Suhiran Aris, 43 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N. Pricilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa merogol mangsa yang berusia 33 tahun apabila dia mengetahui tentang kecacatan mental, gangguan emosi atau kecacatan fizikal wanita itu pada perlakuan jenayah.

Kesalahan didakwa dilakukan di pusat jagaan itu di Taman Kinding Raya, kira-kira jam 8.20 pagi, 28 Oktober 2020.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376 (2)(K) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan dikenakan sebat serta pengawasan polis tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Oktober depan untuk sebutan semula kes.–AlHijrah Online / Hamimah Hamid

Leave a Reply