20 TERBUNUH SERANGAN ISRAEL DI GAZA

(GAMBAR: SAID KHATIB / AFP)

KHAN YUNIS: Tidak cukup mengganggu keamanan umat Islam yang beribadah di Masjidil Aqsa sejak minggu lalu, Israel semalam melancarkan serangan roket ke selatan Gaza yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang.

Lebih memilukan, sembilan daripada 20 mangsa korban adalah kanak-kanak.

Salah seorang Pemimpin Kanan Hamas, Mohammed Fayyad turut dilapor terbunuh dalam serangan semalam.

Kira-kira 65 mangsa juga cedera dalam serangan terbabit.

Serangan roket itu didakwa zionis sebagai tindak balas ke atas Hamas yang melancarkan dahulu serangan roket ke Israel.

Zionis mendakwa, 150 roket dilancarkan Hamas dengan kebanyakkannya berjaya dipintas Israel dan tiada kecederaan dilaporkan.

Ketegangan antara Palestin dan Israel memuncak sejak Jumaat lalu apabila polis zionis bertembung dengan rakyat Palestin berhampiran pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis.

Ratusan rakyat Palestin cedera dalam pertembungan berkenaan dan banyak negara Muslim mengecam tindakan Israel termasuk Malaysia. — AlHijrah Online

Leave a Reply