27 DARIPADA 28 KILANG TOP GLOVE TELAH DITUTUP

GAMBAR OLEH: Mohd RASFAN / AFP)

KUALA LUMPUR: Kerjaan sebelum ini telah mengarahkan 28 kilang milik syarikat Top Glove ditutup secara berperingkat bagi membolehkan para pekerja menjalani ujian saringan dan proses kuarantin.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, susulan arahan itu 20 buah kilang telah pun ditutup manakala 7 buah lagi ditutup hari ini dan 1 lagi akan menyusul.

“Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama lelaki dan wanita pekerja syarikat sarung tangan Top Glove bermula 17 November lalu.

“Sehingga 24 November 2020, sebanyak 5,795 ujian saringan telah dilakukan dan 2,684 kes positif di kawasan PKPD telah direkodkan.

“Bagi mengelakkan penularan di kawasan komuniti, pihak kilang juga telah diarahkan untuk menjalankan saringan terhadap 2,263 pekerja yang tinggal di luar kawasan PKPD dan akan dikuarantin,” kata Ismail Sabri dalam sidang media hari ini.

Menurut Ismail Sabri satu pasukan khas telah diwujudkan bagi menyelaras gerak kerja melibatkan proses saringan, kuarantin dan penutupan kilang Top Glove.

Pasukan khas itu dianggotai oleh Majlis Keselamatan Negara Negeri Selangor, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Pejabat Daerah Klang, Majlis Perbandaran Klang, dan IPD Klang. — AlHIjrah Online

Leave a Reply