284 RAKYAT MALAYSIA MANGSA SINDIKET PENIPUAN PEKERJAAN LUAR NEGARA

SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan sejumlah 284 rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.
Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata daripada jumlah tersebut 174 mangsa masih terkandas di luar negara sementara 110 lagi telah berjaya dibawa pulang ke Malaysia.
Menurutnya sepanjang 2021 hingga hari ini, sejumlah 224 laporan diterima berkenaan sindiket penipuan tersebut.
Katanya semua laporan diterima daripada ahli keluarga, rakan dan kenalan mangsa yang terpedaya.
“PDRM akan terus menggunakan semua platform untuk bekerjasama dengan pelbagai agensi terutama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) dan Polis ASEAN (Aseanapol) untuk menangani masalah ini.
“PDRM juga turut terbabit dalam jawatankuasa khas yang diterajui oleh Kementerian Luar (KLN) dalam menangani isu itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Noorsiah menasihati masyarakat supaya lebih berhati-hati terutama ketika menerima sebarang tawaran pekerjaan di luar negara yang ditawar menerusi media sosial.
“Pastikan semak mengenai kesahihan atau ketulenan maklumat majikan dengan KLN sebelum menerima sebarang tawaran pekerjaan di luar negara.
“PDRM juga mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat untuk melaporkan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah sindiket penipuan pekerjaan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil,” katanya.—AlHijrah Online