4.5 JUTA TONTON TV ALHIJRAH PADA RAMADAN

KUALA LUMPUR: Stesen televisyen Islam, TV Alhijrah kekal menjadi saluran nombor satu mendahului kesemua saluran Islamik lain dengan tontonan sehingga tiga kali ganda pada bulan Ramadan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata berdasarkan data yang diperoleh, tontonan TV AlHijrah meningkat sebanyak lapan peratus kepada 4.5 juta penonton berbanding tempoh masa yang sama sebelum Ramadan.

“Segmen penonton dewasa (50 tahun ke atas) mengalami peningkatan sebanyak 24 peratus secara keseluruhan terutamanya pada slot 2 hingga 4 pagi. Tontonan melonjak enam kali ganda.

“Segmen penonton wanita (35 tahun ke atas) menunjukkan peningkatan 19 peratus berbanding 15 hari sebelum Ramadan. Untuk segmen ini TV AlHijrah menjadi pilihan pada waktu sahur (4-6 pagi) apabila tontonan meningkat tiga kali ganda,” katanya.

Tambah beliau slot Sahur sehingga menjelang Dhuha (5-7 pagi) menunjukkan peningkatan tontonan secara keseluruhan paling ketara dengan peningkatan tiga kali ganda di kalangan penonton.

Menurut Namanzee, selain peningkatan di televisyen, platform digital TV AlHijrah turut menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

Katanya, laman Facebook rasmi TV AlHijrah berjaya mencatatkan jumlah capaian harian sehingga 14.3 juta pengguna.

“Jumlah itu merupakan peningkatan 32 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Kandungan Facebook TV AlHijrah telah dilihat hampir 10 juta kali pada bulan Ramadan,” katanya.

Laman portal berita HBIT dan AlHijrah Online juga katanya berjaya mencapai jumlah pembaca yang tinggi pada bulan Ramadan.

“Portal HBIT mencapai lebih 1 juta ‘pageviews’ bermula Ramadan selepas 13 bulan beroperasi manakala AlHijrah Online mencatat hampir 160 ribu ‘views’ pada 15 hari pertama Ramadan, meningkat sembilan peratus berbanding dua minggu sebelum,” katanya.

Namanzee menzahirkan ucapan terima kasih kepada para penonton TV AlHijrah yang terus menjadikan TV AlHijrah saluran Islamik nombor satu. — AlHijrah Online

Leave a Reply