SYARAT INSURANS COVID-19 UNTUK KE ARAB SAUDI DITELITI

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti syarat terbaharu diumumkan Arab Saudi yang mewajibkan warga asing ke negara itu bagi tujuan umrah, lawatan dan visa pelancongan mempunyai perlindungan insurans COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pihaknya akan meneliti dahulu kenyataan Arab Saudi dan beliau menganggap syarat itu mampu untuk dipenuhi.

“Bagi saya masalah itu tidaklah besar sangat sebab kita banyak badan dan ejen insurans diiktiraf, dan perkara ini kami akan perhalusi satu persatu,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

Zulkifli ditemui selepas menghadiri Majlis Pelancaran Masjid Sebagai Pusat Transit Keganasan Rumah Tangga di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.

Syarat terbaharu Arab Saudi itu diumumkan Bank Pusat Saudi dan Majlis Koperasi Insurans pada Ahad.

Perlindungan insurans itu dilapor akan menampung kos rawatan, kos kuarantin, selain pemindahan perubatan untuk kes-kes kecemasan. — AlHijrah Online

Leave a Reply