4,000 GURU TAKMIR DIBAYAR ELAUN PENUH KETIKA PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN
KUALA LUMPUR: Seramai 4,000 guru takmir masjid lantikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di seluruh negara yang tidak dapat melaksanakan tugas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac depan akan tetap dibayar elaun penuh.
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Hakimah Mohd Yusoff berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bersetuju pembayaran elaun penuh RM800 kepada guru takmir walaupun sesi pembelajaran tidak dapat diadakan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan bagi mengekang penularan COVID19.
“Ini merupakan sebahagian inisiatif #musaadahcovid19 yang diperkenalkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi meringankan beban pihak terjejas dengan wabak COVID-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Mac lalu mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan di Malaysia bagi membendung penularan wabak COVID-19 yang setakat ini mengorbankan dua individu dan menjangkiti 900 orang di negara ini.
Perintah kawalan itu antara lain menyaksikan sekolah, universiti dan institusi pendidikan ditutup, sekaligus menjejaskan kelompok terbabit termasuk guru takmir di masjid-masjid di seluruh negara. — AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali