WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran terakhir kepada Hamas agar membebaskan tebusan atau kumpulan pejuang itu berdepan balasan dahsyat.
Amaran itu diberikan selepas AS mengadakan rundingan sulit bersama Hamas, kali pertama sejak 1997.
Trump menuntut Hamas untuk melepaskan kesemua tebusan termasuk yang terkorban sekaligus mengancam untuk menamatkan gerakan Hamas sekiranya permintaan itu gagal dipatuhi.
Trump juga menggesa Hamas untuk meninggalkan Semenanjung Gaza.
Ugutan terbaharu itu disuarakan Trump menerusi satu catatan di media sosial.
Di sebalik ugutan itu, Trump berkata, pihaknya memberi sokongan besar kepada Tel Aviv dari segi senjata untuk meneruskan kezaliman di Gaza.
“Kepada penduduk Gaza, masa depan yang indah menanti anda, tetapi ia tidak akan berlaku jika masih ada tebusan yang ditahan”, katanya.
Menurut sumber, usaha Trump itu termasuk percubaan untuk membebaskan Edan Alexander dari Tenafly, New Jersey, dipercayai tebusan warga AS terakhir yang masih hidup dan berada dalam tahanan Hamas.
Lelaki itu muncul dalam video yang diterbitkan Hamas pada November 2024 manakala empat lagi tebusan AS diisytiharkan maut oleh pihak berkuasa Israel.
Rundingan sulit bersama Hamas itu jelas melanggar dasar luar AS apabila mengadakan rundingan dengan kumpulan yang diiktiraf AS sebagai pertubuhan ‘pengganas’.
Memberi reaksi kepada ugutan itu, Hamas berkata ancaman AS itu tanda sokongan mereka kepada Netanyahu untuk mengelak syarat perjanjian gencatan senjata yang ditandatangani.
kumpulan itu bertegas, jalan terbaik untuk membebaskan tebusan adalah meneruskan fasa kedua gencatan senjata dan mematuhi semua perjanjiannya. – Alhijrah Online