
Kuala Lumpur: Malaysia mengecam keras insiden pencerobohan terbaharu di Masjid Al-Aqsa oleh pendatang haram Israel, termasuk tindakan mengibarkan bendera Zionis Israel di kawasan suci berkenaan.
Kementerian Luar atau Wisma Putra dalam kenyataan hari ini menegaskan bahawa sebarang usaha untuk melakukan Yahudisasi terhadap Masjid Al-Aqsa adalah perbuatan keji yang mencemar kesucian masjid itu.
Tindakan pendatang haram Israel yang didakwa mendapat sokongan rejim Zionis Israel itu merupakan cubaan mengubah realiti semasa serta menjejaskan nilai budaya, sejarah dan kesucian Masjid Al-Aqsa.
Wisma Putra menyifatkan tindakan berkenaan sebagai provokatif dan tidak dapat diterima sama sekali, selain dilihat mengabaikan peranan penjagaan terhadap tapak suci Islam di Baitulmuqaddis.
“Tindakan sedemikian bersifat provokatif dan tidak boleh diterima sama sekali, serta jelas mengabaikan peranan penjagaan terhadap tapak-tapak suci Islam di Baitulmuqaddis. Masyarakat antarabangsa tidak boleh terus berdiam diri ketika permusuhan dan pencerobohan berlaku secara terang-terangan,” menurut kenyataan itu.
Malaysia pada masa sama menggesa masyarakat antarabangsa serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan segera dan konkrit bagi menghentikan pelanggaran berkenaan, selain memastikan rejim Zionis Israel dipertanggungjawabkan sepenuhnya.
Dalam kenyataan sama, Malaysia turut menegaskan solidariti berterusan terhadap rakyat Palestin serta mengulangi pendirian menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara. — AlHijrah Online