66 MASJID DAN SURAU TERLIBAT MUSAADAH PERDANA IBADAH KORBAN

KUALA LUMPUR: Sebanyak 66 masjid dan surau terlibat dalam program Musaadah Perdana Ibadah Korban Wilayah Persekutuan 1442H yang dianjurkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama rakan strategik.

Menurut JAWI, program yang julung kali diadakan itu akan melibatkan jumlah keseluruhan 555 lembu.

“Program tersebut dilaksanakan berpandukan Prosedur Operasi Standard (SOP) Ibadah Korban JAWI dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), serta garis panduan penyembelihan ternakan korban yang diterbitkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia.

“Ia dilaksanakan dalam norma baharu mengambil kira situasi rakyat Malaysia khususnya di Wilayah Persekutuan yang masih berada di dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara secara berfasa,” kata kenyataan JAWI.

Tujuh buah Pusat Zon dan Masjid Wilayah Persekutuan bertanggungjawab sebagai penyelaras bagi mendapatkan penyertaan dari masjid dan surau yang berminat untuk menyertai program tersebut di seluruh Wilayah Persekutuan bermula pada 18 Jun 2021 hinga 10 Julai 2021.

Jelas JAWI, semua proses penyembelihan termasuk lapah, potong dan pembungkusan daging korban dilaksanakan dengan pemantauan di lapan buah Rumah Sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta yang dilesenkan atau ladang ternakan yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar di sekitar Lembah Klang.

“Daging korban yang telah siap dibungkus diedarkan kepada penerima berdasarkan jadual penghantaran mengikut zon-zon bermula pada hari raya pertama hingga hari raya keempat.

“Anggaran penerima manfaat agihan daging korban dari program tersebut adalah 15,540 pek kepada fakir miskin, 11,655 pek kepada peserta korban dan 11,655 pek musaadah kepada petugas barisan hadapan dan lain-lain golongan yang memerlukan,” kata JAWI.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut berkesempatan meninjau proses pelaksanaan program tersebut hari ini.

Turut hadir Pengarah JAWI Datuk Mohd Ajib Ismail. — AlHijrah Online

Leave a Reply