49 INDIVIDU LANGGAR SOP SOLAT AIDILADHA DIREMAN

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan reman 49 individu bagi membantu siasatan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) solat sunat Aidiladha di luar Surau Taman Pelangi, Juru semalam.

Tahanan reman itu melibatkan 48 warga Bangladesh dan seorang warga tempatan.

Perintah reman kesemua individu berusia 20 hingga 43 tahun ini akan bermula hari ini hingga Sabtu manakala seorang suspek warga tempatan berusia 64 tahun direman sehingga Jumaat.

Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Hasliza Razak pagi tadi.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 10, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Suspek ditahan di kawasan perumahan di Taman Pelangi semalam khusus sejurus polis menerima laporan berhubung insiden kejadian berkenaan.

Pada Selasa, media melaporkan polis mengesan lebih 200 warga asing yang melanggar SOP dengan mengadakan solat sunat Aidiladha di atas jalan di kawasan itu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, kumpulan itu didapati berbuat demikian selepas pengurusan surau tidak membenarkan mereka solat di dalam surau berikutan melebihi had ditetapkan.

Terdahulu, tular di laman sosial video berdurasi 22 saat memaparkan kumpulan lebih 200 warga asing melakukan solat sunat Aidiladha di atas jalan raya di Taman Pelangi.

Menurut Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang sebelum ini, solat sunat Aidiladha hanya dibenar dilakukan di masjid negeri dan daerah dengan kapasiti 150 orang, masjid kariah (100) serta surau (50). — AlHijrah Online

Leave a Reply