SURAU PENUH DIPERCAYAI PUNCA JEMAAH SECARA SPONTAN SOLAT DI KAWASAN LAPANG – POLIS

BUKIT MERTAJAM: Ratusan individu yang dirakam mendirikan solat sunat Aidiladha di kawasan lapang berdekatan Surau Taman Pelangi, Juru, dipercayai kerana mereka tidak mendapat kebenaran untuk mengerjakan ibadah itu di dalam surau ekoran jumlah jemaah telah mencapai had kapasiti yang dibenarkan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan awal pihaknya mendapati solat sunat itu dibuat secara spontan oleh ratusan jemaah tersebut selepas gagal masuk ke dalam surau.

“Hasil siasatan kita pada peringkat awal ini kita dapati ia berlaku secara spontan dan itu tidak bermakna kami tidak akan menyiasat apa yg berlaku pada pagi tadi.

“Pihak saya akan terus siasat sekiranya berlaku perancangan membawa jemaah yang sedemikian ramai ke surau tersebut pada pagi tadi,” katanya.

Tambah beliau, siasatan pihaknya mendapati tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh surau tersebut dan limpahan yang berlaku diluar kawalan pihak pengurusan.

Kata Mohd Shuhaily pihaknya akan cuba mengenalpasti kira-kira 200 jemaah yang dipercayai hadir untuk solat jemaah di kawasan lapang tiu.

Beliau juga memohon maaf kepada seluruh penduduk di Pulau Pinang atas kegagalan mengesan perkara berkenaan lebih awal.

“Saya selaku Ketua Polis Pulau Pinang memohon maaf kepada semua rakyat Pulau Pinang akan kegagalan kami mengesan lebih awal,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar terus membuat laporan kepada polis melalui talian 04-2221722 sekiranya mengesyaki berlakukan pelanggaran SOP sebelum menularkannya di laman sosial.

Terdahulu, tular di laman sosial video berdurasi 22 saat memaparkan sekumpulan jemaah dipercayai warga asing melakukan solat sunat Aidiladha di di kawasan lapang yang didakwa tidak mematuhi SOP ditetapkan.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) sebelum ini memaklumkan solat sunat Aidiladha hanya dibenar dilakukan di masjid negeri dan daerah dengan kapasiti 150 orang, masjid kariah (100) serta surau (50). — AlHijrah Online

Leave a Reply