Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

97 RAKYAT PALESTIN TERBUNUH DALAM PELANGGARAN GENCATAN SENJATA OLEH ISRAEL

DUNIA

97 RAKYAT PALESTIN TERBUNUH DALAM PELANGGARAN GENCATAN SENJATA OLEH ISRAEL

Sekurang-kurangnya 97 rakyat Palestin terbunuh manakala 230 lagi cedera akibat serangan tentera Israel sejak gencatan senjata dikuatkuasakan di Semenanjung Gaza pada 10 Okt, termasuk 21 pelanggaran yang direkodkan pada Ahad.

Sumber Gambar: AFP

ISTANBUL: Sekurang-kurangnya 97 rakyat Palestin terbunuh manakala 230 lagi cedera akibat serangan tentera Israel sejak gencatan senjata dikuatkuasakan di Semenanjung Gaza pada 10 Okt, termasuk 21 pelanggaran yang direkodkan pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik kerajaan Gaza.

Dalam satu kenyataan, Pejabat Media Kerajaan Gaza menyatakan bahawa “tentera pendudukan Israel telah melakukan 80 pelanggaran yang didokumenkan sejak pengisytiharan gencatan senjata, satu pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.”

Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, pelanggaran berkenaan termasuk tembakan secara langsung ke arah orang awam, serangan artileri, serangan secara sengaja serta penangkapan orang awam.

Tentera Israel turut menggunakan kenderaan tentera, kereta kebal yang diletakkan di pinggir kawasan kediaman, kren elektronik yang dilengkapi dengan sistem penyasaran jarak jauh, selain pesawat pejuang dan dron quadcopter untuk melancarkan serangan.

“Pelanggaran ini direkodkan di semua wilayah di Semenanjung Gaza tanpa pengecualian, sekali gus mengesahkan bahawa rejim Israel tidak mematuhi gencatan senjata dan terus melaksanakan dasar pembunuhan serta keganasan terhadap rakyat kami,” menurut kenyataan itu.

Kerajaan Gaza menganggap tentera Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pelanggaran itu dan menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta pihak penjamin perjanjian berkenaan supaya segera campur tangan bagi menghentikan pelanggaran tersebut.

Perjanjian gencatan senjata antara kumpulan Palestin Hamas dan Israel, berdasarkan pelan yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, berkuat kuasa pada 10 Okt.

Perjanjian itu merangkumi pengunduran tentera Israel secara berperingkat, pertukaran tahanan secara bersama, kemasukan segera bantuan kemanusiaan, serta pelucutan senjata Hamas.

Gencatan senjata itu menamatkan konflik selama dua tahun yang mengorbankan lebih 68,000 rakyat Palestin, mencederakan kira-kira 170,000 orang dan memusnahkan sebahagian besar infrastruktur Gaza.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading