AGONG YAKIN MALAYSIA MAMPU LANDAIKAN LEKUK COVID-19

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan buat petugas barisan hadapan terus cekal dan tabah dalam memerangi gelombang ketiga penularan wabak COVID-19 yang melanda negara ketika ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka memahami cabaran besar yang terpaksa diharungi petugas barisan hadapan ketika ini susulan kes positif COVID-19 harian meningkat drastik yang mencecah kepada empat angka secara berterusan sejak hujung tahun lalu.

Dalam kenyataan itu, Sultan Abdullah amat menyanjung tinggi pengorbanan yang dicurahkan mereka demi keselamatan diri rakyat dalam memikul tanggungjawab membendung dan merawat pesakit wabak yang boleh meragut nyawa itu.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar semangat kental dan juang yang tinggi dipamerkan petugas barisan hadapan sebagai benteng utama sejak penularan wabak ini awal tahun lalu di negara ini turut dihargai seluruh rakyat jelata.

“Sesungguhnya, usaha gigih petugas barisan hadapan sewajarnya dipuji dan terus dihargai,” dalam titah baginda.

Seri Paduka turut menzahirkan rasa dukacita terhadap rakyat yang masih tidak peka dalam tindak-tanduk harian mereka, khususnya terhadap pematuhan disiplin amalan kebiasaan baharu dan kawalan kendiri bagi mengekang penularan wabak ini.

“Sultan Abdullah menyeru seluruh rakyat untuk menzahirkan solidariti dan sokongan padu kepada petugas barisan hadapan dengan bersama berganding bahu berdisiplin mematuhi semua perintah yang ditetapkan kerajaan dan prosedur operasi standard (SOP).

“Inilah masanya untuk kita sebagai warganegara dan rakyat Malaysia mengenepikan perbezaan politik, bangsa dan agama, bersama mempamerkan semangat kesetiaan, kemanusiaan dan jati diri memerangi wabak COVID-19,” kata Ahmad Fadil dalam kenyataannya.

Dalam masa yang sama, Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan bahawa kita bukan saja mampu sekali lagi melandaikan lekuk kes jangkitan COVID-19 harian, malah mampu meringankan beban yang dipikul petugas barisan hadapan, dengan sokongan dan kerjasama rakyat jelata.

“Insya-Allah kalau kita berusaha dan tawakal kepada Allah, kita boleh memutuskan rantaian jangkitan dalam negara ini dengan berkesan,” titah baginda dalam kenyataan itu.

—AlHijrah Online

Leave a Reply