PEMERGIAN BAPA ATHO’ULLAH DAPAT PERHATIAN

KUALA LUMPUR: Pemergian bapa kepada Mohamad Nor Atho’ullah, 11 tahun akibat COVID-19 baru-baru ini mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau sempat menghubungi Nor Atho’ullah dan perbualan mereka yang dimuat naik di Twitter rasminya turut menyentuh hati netizen.

Zulkifli kagum dengan reaksi tenang ditunjukkan Nor Atho’ullah selepas kematian ayahnya, Mohamad Kamil Ghazali,51, di Hospital Sungai Buloh (HSB) pada 15 Januari lalu.

Menerusi perbualan itu, Zulkifli memohon maaf kepada Nor Atho’ullah kerana tidak dapat hadir menziarahinya kerana kekangan masa.

“Apa juga ujian Allah SWT, kita perlu sabar dan tabah. Pak cik dan menteri-menteri lain akan berikan sokongan serta bantuan.

“Sekiranya ada masalah boleh telefon pak cik, nanti kita tengok apa yang boleh kita bantu,” kata Zulkifli ketika menghubungi Nor Atho’ullah melalui panggilan video.

Dalam perbualan itu, Nor Atho’ullah turut ditemani kakaknya, Nur Kamilatul Alifah, 26, yang mengusahakan perniagaan roti secara perusahaan kecil sederhana (PKS) di rumah.

Zulkifli turut mengakhiri perbualan itu dengan membaca doa dan menyatakan pihaknya akan menyediakan bantuan kepada keluarga terbabit.

Jenazah Mohamad Kamil selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ketari, Bentong, Pahang pada 15 Januari lalu dengan bantuan hospital dan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang.

Sementara itu, Nor Atho’ullah bersama ibunya, Norazah Aziz, 50, dan lima adik-beradiknya yang dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di MAEPS, Serdang sebelum ini sudah sembuh dan dibenarkan pulang. – AlHijrah Online

Leave a Reply