POTONGAN CUKAI BERGANDA BAGI MAJIKAN TANGGUNG KOS SARINGAN COVID-19

PUTRAJAYA: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan majikan yang menanggung kos saringan COVID-19 akan mendapat potongan cukai berganda bagi bayaran kos saringan pekerja yang dibuat sepanjang tahun ini.

“Individu juga boleh mendapat pengecualian cukai bagi kos saringan,” katanya pada taklimat media mengenai pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), hari ini.

Tambahnya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan menanggung kos saringan bagi pekerja asing yang berada di zon merah. 

Bagi program i-Sinar, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersetuju untuk menjadi pemudahcara, dengan setakat ini hanya satu peratus permohonan tidak diluluskan, kata Tengku Zafrul.

Mengenai moratorium, beliau berkata kadar kelulusan adalah lebih 95 peratus  untuk individu manakala bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kelulusannya adalah 99 peratus.

“Kita perlu bantu yang paling terkesan. Kalau dibuka kepada semua, sumber tidak akan mencukupi. Lebih baik menyokong yang benar-benar memerlukan daripada menyediakan bantuan menyeluruh merangkumi mereka yang tidak memerlukannya,” katanya.

–AlHijrah Online

Leave a Reply