POTONGAN GAJI, CARA MUDAH BERWAKAF

KUALA LUMPUR: Kaedah berwakaf melalui potongan gaji merupakan antara kemudahan yang disediakan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) bagi menarik lebih ramai masyarakat membudayakan amalan bersedekah.

Sistem wakaf tunai melalui potongan gaji tersebut memudahkan para pewakaf menghulurkan dana tanpa perlu ke pejabat YWM.

Ketua Bahagian Pemasaran dan Penyelarasan YWM, Haidatul Azia Husin berkata, melalui sistem potongan gaji tersebut para pewakaf juga boleh membahagikan jumlah sumbangan kepada ahli keluarga atau mana-mana individu untuk sama-sama merebut pahala berwakaf.

“Uniknya wakaf melalui potongan gaji ini, pewakaf boleh pilih contohnya daripada nilai keseluruhan wakaf RM50 sebulan, RM10 boleh disumbangkan atas nama isteri, RM10 untuk nama anak-anak, RM10 untuk ibu bapa dan lain. Kita boleh melakukan amalan wakaf untuk orang lain,” katanya kepada AlHijrah Online.

Selain itu Haidatul Azia berkata, individu yang melakukan bayaran wakaf melalui potongan gaji juga layak untuk memohon pengecualian cukai pendapatan tahunan.

“Pewakaf boleh memuat turun penyata sumbangan wakaf tahunan dan data tersebut boleh digunakan untuk potongan cukai.

“Setiap wakaf yang diterima oleh YWM layak mendapat potongan cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 yang tertakluk kepada 7 peratus untuk individu dan 10 peratus kepada syarikat daripada pendapatan agregat,” katanya.

Tambah Haidatul Azia, individu yang berminat untuk melakukan sumbangan wakaf melalui potongan gaji boleh ke laman web Yayasan Wakaf Malaysia di ywm.gov.my untuk memohon.

Selain potongan gaji, YWM turut melaksanakan kaedah kutipan wakaf melalui perbankan internet, sistem wakaf tunai Malaysia, perbankan mudah alih, secara langsung (kaunter, tabung, pameran, taklimat), dan kerjasama pintar.

Maklumat lanjut berhubung wakaf dan penyaluran dana wakaf boleh hubungi pihak YWM pada talian 03-8871 0800 atau email ke info@ywm.gov.my.

Informasi lanjut juga boleh didapati di laman sesawang Yayasan Wakaf Malaysia di ywm.gov.my serta laman media sosial YWM untuk maklumat terkini. – AlHijrah Online

Leave a Reply