AIR SELANGOR: KERJA PENYELENGGARAAN LANCAR, DIJANGKA SIAP MALAM INI

SHAH ALAM: Kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) dijangka siap malam ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset air berjalan lancar selain lebih awal dari jadual asal.

“Kerja pembaikan dan penyelenggaraan dijangka siap pada malam ini Insya-Allah dan bekalan air akan dipulihkan secara berperingkat selepas itu mengikut jadual,” dalam hantaran di Facebooknya.

Laporan terkini daripada Air Selangor memaklumkan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal setakat jam 5 petang tadi mencapai 83.9 peratus.

Kerja-kerja tersebut dijangka siap sepenuhnya pada jam 11.00 malam, 13 Oktober 2021 dan maklumat terkini boleh rujuk di laman sesawang hentitugas.airselangor.com.

Sebelum ini media melaporkan penduduk di 998 kawasan sekitar Lembah Klang akan mengalami gangguan bekalan air bermula 13 Oktober.

Gangguan itu membabitkan daerah antaranya Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor. – AlHijrah Online

Leave a Reply