AKIBAT KHAYAL, LELAKI PANJAT JAMBATAN

BEAUFORT: Seorang lelaki dipercayai dalam keadaan khayal selepas menghidu gam bertindak memanjat jambatan setinggi enam meter, di sini, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi melibatkan lelaki berusia 20 tahun.

Tindakan lelaki itu disedari sepasukan polis yang sedang menjalankan operasi Pematuhan dan Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Lelaki tersebut dilaporkan berdegil dan tidak mengendahkan arahan polis semasa diarahkan turun.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Supt Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, pihaknya beberapa kali berusaha memujuk suspek untuk turun namun gagal sebelum anggotanya bertugas menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) untuk mendapatkan bantuan.

“Sebaik dibawa turun, lelaki tersebut terus dibawa ke Balai Polis Beaufort untuk proses dokumentasi.

“Pemeriksaan tubuh badan dan beg sandang lelaki terbabit membawa kepada penemuan plastik dan satu tin gam.

“Lelaki terbabit terus ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 23 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ),” katanya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, seramai sembilan anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba seterusnya menyelamatkan lelaki itu menggunakan tangga sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply