PENGASUH DIHADAP KE MAHKAMAH ATAS CUBAAN BUNUH BAYI

IPOH: Seorang pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan cuba membunuh seorang bayi lelaki dalam asuhannya, minggu lalu.

Tertuduh, Nursahidah Amran, 22 tahun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Mengikut pertuduhan, Nursahidah didakwa cuba membunuh Raid Hazim Ratno Hidayah, tujuh bulan, dengan menghentak sehingga menyebabkan kecederaan di kepala mangsa yang boleh menyebabkan kematian.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Desa Pelancongan 2, di sini, antara jam 7 pagi hingga 2.45 petang, 22 September lalu.

Nursahidah didakwa di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan yang dikenakan mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu penganiayaan terhadap mangsa hingga menyebabkan kecederaan fizikal pada waktu, tarikh dan lokasi yang sama dengan pertuduhan utama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin di samping larangan menganggu saksi.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 November depan.

Sebelum ini, Berita Alhijrah melaporkan seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan mengalami pendarahan di kepala dan tempurung kepala retak dipercayai akibat didera pengasuh.—AlHijrah Online

Leave a Reply