POLIS NAFI DAKWAAN KEMATIAN PELAJAR SEKOLAH AKIBAT VAKSIN

IPOH: Polis menafikan dakwaan kematian dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai, di sini akibat pengambilan vaksin COVID-19 menerusi sebuah video yang tular.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, dakwaan berkenaan kematian dua pelajar tersebut akibat vaksin adalah tidak benar serta mengelirukan.

“Memang benar dua pelajar dari sekolah menengah itu telah meninggal dunia tetapi ia bukanlah akibat vaksin.

“Pada 18 Julai lalu, seorang pelajar perempuan meninggal dunia disebabkan positif COVID-19 dan mempunyai latar belakang penyakit kronik kencing manis dan darah tinggi dan dirawat dalam keadaan kritikal di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

“Seorang lagi pelajar lelaki meninggal dunia pada 17 September lalu akibat sakit jantung,” katanya, hari ini.

Tambah Mior, kematian kedua-dua pelajar tersebut jelas tiada kaitan langsung dengan suntikan vaksin COVID-19 sambil menambah pemberian vaksin untuk golongan remaja hanya dimulakan kerajaan pada 20 September.

Mior memaklumkan kertas siasatan telah dibuka untuk menyiasat video yang tular di media sosial dan akan memanggil individu yang terlibat bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, tular sebuah video memaparkan seorang wanita mendakwa terdapat pelajar meninggal dunia akibat vaksin termasuk dua orang di SMK Tasek Damai.—AlHijrah Online

Leave a Reply