ALLAHYARHAM DR ALI DISENANGI RAKAN SEKERJA, PESAKIT – NOOR HISHAM

KUALA LUMPUR: Pemergian seorang petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Allahyarham Dr Ali Noor Hassan menyentuh hati ramai pihak atas sumbangan yang dihulurkan dalam membantu menangani wabak COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan memaklumkan Dr Ali Noor merupakan pegawai yang disenangi ramai pihak.

“Allahyarham Dr Ali Noor telah pulang ke pangkuan Ilahi lewat malam semalam (18 Januari 2020).

“Beliau merupakan seorang Pegawai Perubatan KKM yang amat disenangi oleh rakan-rakan sekerja, pesakit dan masyarakat setempat beliau,” kata Dr Noor Hisham dalam hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Sementara itu Dr Noor Hisham memaklumkan hasil ujian COVID-19 ke atas Allahyarham Dr Ali Noor adalah negatif.

“Beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak awal Disember 2020 disebabkan penyakit lain dan telah menjalani beberapa sesi rawatan.

“Bagi menghormati jenazah serta ahli keluarga Allahyarham Dr Ali Noor, KKM memohon agar mana-mana pihak tidak membuat spekulasi mengenai kes beliau,” katanya.

Dr Noor Hisham turut mengajak orang ramai untuk sama-sama memanjatkan doa dan peringatan buat Allahyarham Dr Ali Noor.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman,” katanya.

Berita pemergian Allahyarham mendapat perhatian netizen selepas ada pihak mendakwa Dr Ali Noor jatuh sakit kerana penat dan letih setelah bertugas di barisan hadapan KKM menangani COVID-19. – AlHijrah Online

Leave a Reply