TAKZIAH KEPADA KELUARGA WIRA NEGARA – ZULKIFLI

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Dr. Ali Noor Hassan, yang merupakan seorang petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga wira negara almarhum Dr. Ali Noor Hassan yang meninggal dunia disebabkan pendarahan dalam otak.

“Semoga isteri dan anak-anak almarhum tabah dan sabar atas ujian ini.

“Dengan sumbangannya sepanjang pandemik ini serta khidmat sosial beliau terutamanya dalam beberapa siri Ijtima’ Tabligh dalam negara, insya-Allah kita sentiasa mengharapkan ia adalah husnul khatimah,” kata Zulkifli melalui catatan di Facebook rasmi beliau.

Dr. Ali Noor pulang ke pangkuan Ilahi lewat malam kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan Allahyarham seorang pegawai perubatan KKM yang amat disenangi oleh rakan-rakan sekerja, pesakit dan masyarakat setempat beliau. – AlHijrah Online

Leave a Reply