PAKEJ KITA SELANGOR DIUMUM

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM73.877 juta bagi pakej Kita Selangor yang diumum hari ini.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, usaha itu bagi memastikan kebajikan rakyat negeri itu terbela lebih-lebih lagi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Antara yang diumumkan dalam pakej Kita Selangor ialah ujian saringan bersasar percuma serta bantuan makanan kepada petugas barisan hadapan.

“Bagi menangani perebakan pandemik yang mencatat angka kes empat digit, RM6 juta akan disalurkan untuk melaksanakan ujian saringan bersasar percuma yang memfokuskan kepada golongan berisiko tinggi meliputi 50,000 rakyat Negeri Selangor.

“Pakej Kita Selangor turut meliputi bantuan makanan kepada 9,822 petugas perubatan di hospital-hospital juga Pejabat Kesihatan Daerah seluruh Selangor serta 3,500 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan peruntukan sebanyak RM 3 juta,” kata Amirudin dalam pengumumannya hari ini.

Tambahnya kerajaan negeri bersetuju untuk meluluskan Peruntukan Khas Selangor Mesra Rakyat berjumlah RM100,000 untuk setiap 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan kadar segera bagi mengerakkan program-program bantuan kepada golongan memerlukan.

Ahli Parlimen di Selangor juga akan mendapat manfaat RM50,000 bagi menggerakkan program bantuan untuk rakyat negeri tersebut.

“Seterusnya, bagi mengurangkan beban pengangkutan pesakit di bawah penyeliaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Bas Smart Selangor akan digunakan secara percuma untuk menghantar pesakit berisiko rendah ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Berisiko Rendah di MAEPS, Serdang.

“450 penyewa di bawah Skim Smart Sewa pula diberi kelonggaran untuk menangguhkan pembayaran sewa rumah untuk bulan Januari, Februari dan Mac 2021 dengan implikasi kewangan sebanyak RM 1 juta,” kata Amirudin berhubung pakej Kita Selangor.

Kerajaan negeri juga katanya akan menyediakan bakul makanan bagi pemandu teksi, pemandu bas sekolah, penyewa PPR, pemandu lori sisa pepejal di bawah penyeliaan Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management serta Orang Asal yang melibatkan peruntukan RM1.3 juta.

Pakej Kita Selangor turut memberikan perhatian kepada 10,160 warga tani yang akan diberi insentif baucar petrol serta input penternakan dengan peruntukan sebanyak RM2 juta.

Selain itu bantuan kepada anak petugas barisan hadapan serta calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) turut diumum.

“Inisiatif Cakna Anak Barisan Hadapan akan membantu anak petugas frontliners dengan mengoperasikan Taska dan Pusat Jagaan Sementara di Hospital-Hospital Awam serta Premis Sementara untuk tempoh dua (2) bulan bermula 25 Januari. Ini akan membantu hampir 400 keluarga dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.

“Pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan SPM dan STPM dapat menikmati program kemahiran belajar ataupun ‘smart learning’ melalui portal ePTRS.my yang akan menawarkan mata pelajaran dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Sejarah, Matematik, serta mata pelajaran STPM seperti Pengajian Am dan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET).

“Portal ini dibangunkan dengan belanja RM300 ribu dan telah menerima pendaftaran 3,755 pelajar sehingga 19 Januari 2021,” kata Amirudin.

Sementara itu, Amirudin berkata kerajaan negeri turut bercadang melaksanakan potongan gaji meliputi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pegawai tinggi di syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ujarnya, sebagai permulaan beliau berbesar hati menyumbang gaji saya sebanyak sebulan untuk usaha tersebut. – AlHijrah Online

Leave a Reply