ANGGOTA POLIS BERGAMBAR SAMBIL MEROKOK, BENARKAN RAKAN PEGANG SENJATA API

JOHOR BAHRU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat gambar tular seorang anggota polis berpakaian seragam sambil menghisap rokok bersama seorang orang awam yang memegang senjata api miliknya, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd. Sohaimi Ishak berkata, siasatan mendapati anggota polis itu bertugas di Balai Polis Taman Johor Jaya, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seri Alam.

Gambar tersebut katanya diambil oleh rakan suspek pada jam 2.43 pagi semalam di hadapan balai polis berkenaan sementara lelaki awam itu memegang senjata api jenis HK-MP5.

“Ketika gambar tersebut diambil, anggota terlibat sedang bertugas di pos pengawal balai polis tersebut.

“Ketiga-tiga mereka berumur 25 tahun dan tujuan gambar diambil sebagai kenangan antara mereka sebelum dimuat naik ke media sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Sohaimi berkata, tindakan anggota tersebut yang membenarkan orang awam memegang senjata api ketika bertugas adalah satu kesalahan dan melanggar tatakelakuan.

Siasatan lanjut dijalankan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) IPD Seri Alam dan tindakan diambil di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.—AlHijrah Online

Leave a Reply