
Sumber Gambar: BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan bertekad mengangkat seni khat daripada sekadar warisan kesenian Islam kepada bidang bernilai tinggi yang mampu membuka peluang ekonomi, mengembangkan bakat tempatan dan menempatkan Malaysia sebagai rujukan seni khat pada peringkat global.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata usaha itu perlu dilaksanakan secara lebih tersusun dengan menghubungkan penggiat dan usahawan seni khat dengan syarikat multinasional serta pihak yang berpotensi melabur dalam bidang berkenaan.
Beliau berkata pendekatan itu penting supaya seni khat tidak hanya dilihat dari sudut kesenian, tetapi turut mempunyai nilai ekonomi dan mampu membuka peluang pekerjaan serta menjana ekonomi kepada mereka yang mempunyai bakat serta kepakaran dalam bidang tersebut.
“Kita ingin menemukan penggiat-penggiat khat, usahawan-usahawan khat ini dengan syarikat multinasional, dengan potensi pelaburan yang boleh melihat kaedah kita mengangkat seni khat ini untuk dijadikan medium bernilai tinggi.
“Sebagai contoh, dijadikan hadiah dalam majlis rasmi, temasya dan pertandingan supaya kita bukan hanya berbicara tentang seni, tetapi juga tentang impak seni itu kepada kehidupan mereka yang berbakat,” katanya ketika merasmikan Pameran Seni Khat Sedunia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Sumber Gambar: BERNAMA
Pameran bersempena dengan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-66 dengan kerjasama Persatuan Karyawan Kaligrafi dan Jawi Malaysia (KALIMA) serta Persatuan Seni Khat Kebangsaan (PSKK) itu menghimpunkan 34 karya daripada 17 pempamer, termasuk dua mushaf al-Quran tulisan tangan.
Zulkifli berkata kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus menyokong dan bekerjasama dengan KALIMA, PSKK, Darul Quran serta agensi berkaitan bagi memperluas usaha memartabatkan seni khat.
Beliau berkata sudah tiba masanya bidang yang sekian lama kurang diberi perhatian itu diberi nafas baharu menerusi pendekatan Kerajaan MADANI yang mengambil tanggungjawab untuk menggerakkan usaha berkenaan secara bersama.
“Walaupun kita rasakan bidang kuasa berkaitan penulisan khat antaranya di bawah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kita mengambil peranan, mengambil tanggungjawab untuk angkat martabat seni khat dengan kerjasama lebih erat selepas ini,” ujarnya.
Zulkifli berkata kerajaan juga mempunyai sumber, bakat dan agensi yang boleh digerakkan bagi merealisasikan visi menjadikan Malaysia sebagai antara pusat rujukan seni khat dunia.
Dalam pada itu, beliau mahu Pameran Seni Khat Sedunia di Malaysia dikembangkan sehingga setanding dengan reputasi program bertaraf antarabangsa lain seperti MTHQA, sekali gus menjadikan Kuala Lumpur sebagai rujukan global dalam bidang seni khat.
“Impian kita adalah untuk menjadikan Pameran Khat Sedunia Malaysia ini sama seperti MTHQA sebagai pameran khat sedunia yang akan menjadi rujukan dunia, global dan inilah masanya untuk Kerajaan MADANI mengambil tanggungjawab tersebut,” tambahnya. — AlHijrah Online