Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

ANJUR PROGRAM PUPUK KEIMANAN, KETAKWAAN MENJELANG RAMADAN – MOHD NA’IM

DALAM NEGARA

ANJUR PROGRAM PUPUK KEIMANAN, KETAKWAAN MENJELANG RAMADAN – MOHD NA’IM

NILAI: Penganjuran sebarang program menjelang dan pada Ramadan hendaklah menjurus ke arah membina dan menambah ketakwaan kepada umat Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. — Bernama

NILAI: Penganjuran sebarang program menjelang dan pada Ramadan hendaklah menjurus ke arah membina dan menambah ketakwaan kepada umat Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata pihak penganjur perlu lebih sensitif dalam menganjurkan sebarang program dengan mengambil kira kepentingan dan kesucian agama Islam terutama dalam suasana menyambut ketibaan Ramadan.

“Kita galakkan supaya ketika Ramadan atau menjelang bulan itu, perbanyakkan usaha ke arah memperkukuh iman dan takwa. Apa sahaja aktiviti (boleh dianjurkan) termasuk ceramah dan sebagainya, pelbagai kaedah dibuat untuk mengisi (Ramadan) sekali gus membina Madrasah Ramadan.

“Sebagai contoh program di Johor oleh artis, Alif Satar yang menggerakkan kempen #GengSubuhMacamJumaat…yang ini kita dukung. Program yang membawa masyarakat untuk dekat kepada Allah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Syarahan Malaysia Harmoni di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan beberapa pihak merancang menganjurkan konsert atau program kesenian di negara ini menjelang Ramadan.

Mohd Na’im berkata pihak penganjur dan mufti juga perlu berbincang dan mencari jalan terbaik sekiranya berlaku perbezaan pandangan dalam sesuatu isu seterusnya dapat memanfaatkan masyarakat.

“Dalam konteks membina harmoni, saya syorkan supaya penganjur dan mufti duduk semeja berbincang dengan cara baik…pembinaan hubungan bukan hanya dengan Allah tapi perlu diperkukuh hubungan sesama manusia,” katanya.

Beliau berkata golongan mufti juga perlu mengeluarkan pandangan secara berhati-hati dan tidak mendatangkan kegusaran masyarakat Islam.

Mengenai program Syarahan Malaysia Harmoni anjuran Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini, beliau berkata ia merupakan platform memperkasa penghayatan bagi memperkukuh kesejahteraan dan keharmonian negara.

Beliau berkata Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI) yang diuruskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Kementerian Perpaduan Negara juga diaktifkan semula bagi memperkukuh perpaduan masyarakat majmuk di negara ini.

Sementara itu, beliau turut mengesyorkan kursus Pendidikan Keamanan diperkenalkan kepada mahasiswa sekali gus membangunkan penghayatan mengenai kepentingan keamanan dalam kalangan generasi muda dan masyarakat. — AlHijrah Online

SUMBER BERNAMA


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Mohammad Zaim Bin Nor Zamani, Ketua Unit Kandungan Digital TV AlHijrah.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading