Min Aung Hlaing tiba di bangunan berkenaan pada 9 pagi sebelum disambut Anwar dalam upacara sambutan rasmi.
Beliau berada dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia sejak semalam dengan isu penghantaran pulang warga Myanmar di Malaysia antara perkara utama yang dijangka dibincangkan bersama Perdana Menteri.
Selesai pertemuan empat mata, kedua-dua pemimpin mengetuai delegasi masing-masing dalam mesyuarat dua hala.
Antara menteri Kabinet yang hadir ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang bertindak sebagai menteri pengiring.
Semalam, Wisma Putra memaklumkan lawatan berkenaan turut memberi peluang kepada Perdana Menteri meneruskan libat urus secara langsung dengan Myanmar selaras dengan keputusan Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 pada Mei 2026.
Menurut Wisma Putra, pendekatan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha meneruskan libat urus secara konstruktif dan berprinsip dengan Myanmar.
Malaysia juga akan terus menyokong usaha ASEAN ke arah keamanan dan perdamaian serta memastikan akses kepada bantuan kemanusiaan di Myanmar.
Pada masa sama, Malaysia akan bekerjasama rapat dengan semua negara anggota ASEAN bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran rantau ini. — AlHijrah Online