ARAB SAUDI BUKA PINTU UNTUK MALAYSIA DAN 48 LAGI NEGARA

KUALA LUMPUR: Malaysia antara 49 buah negara yang dibenarkan Arab Saudi untuk melancong ke negara tersebut bermula 1 Ogos lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata penyenaraian itu satu penghormatan dan pengiktirafan kepada sistem pengurusan kesihatan Malaysia.

“Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussien Saeed Qattan memaklumkan kepada saya bahawa mulai 1 Ogos lalu, Arab Saudi membuka pintunya kepada para pelancong daripada 49 buah negara termasuk Malaysia.

“Beliau menjelaskan, walaupun Malaysia mempunyai kes jangkitan positif COVID-19 yang tinggi, tetapi kadar vaksinasi yang amat pantas (antara terpantas di dunia) menyebabkan Arab Saudi memberi kepercayaan penuh untuk membuka pintu negaranya kepada Malaysia bagi tujuan pelancongan,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya selepas menerima kunjungan Mahmoud Hussien di Putrajaya.

May be an image of text

Ujar Zulkifli Malaysia masih menunggu kenyataan rasmi daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berhubung permohonan visa umrah bagi rakyat Malaysia.

Beliau menyeru untuk umat Islam memperbanyakkan doa dan munajat kepada Allah SWT agar wabak COVID-19 segera pulih agar kita dapat kembali menziarahi Tanah Suci dalam masa terdekat.

Sementara itu, menerusi hantaran yang sama Zulkifli berkata sumbangan 1 juta dos Astrazeneca dan 4.5 juta unit pelbagai bantuan perubatan daripada Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz dan Putera Mahkota Muhammad Salman melalui King Salman Humanitarian Aid and Relief Centre (KSRelief) amat dihargai.

“Hubungan yang erat antara Malaysia dan Arab Saudi akan terus diperkukuh bagi manfaat kedua-dua buah negara,” katanya. – AlHijrah Online

Leave a Reply