WARGA EMAS 90 TAHUN MAUT DALAM KEBAKARAN

SIK: Seorang warga emas maut manakala dua ahli keluarganya cedera dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Charok Kemuning, Sik, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, mangsa, Siti Mariam Hat, 90, dikatakan gagal menyelamatkan diri ketika api marak sebelum ditemukan meninggal dunia di biliknya.

Menantu mangsa, Zalina Mohamad, 55, turut melecur pada kaki dan dibawa ke Hospital Sik untuk mendapatkan rawatan, manakala anak mangsa, Shuib Awang, 63, sempat menyelamatkan diri dan hanya mengalami cedera ringan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 5.23 pagi dan jentera tiba di lokasi pada 5.28 pagi.

Anggota bomba kemudian berusaha memadam kebakaran dan menemui mangsa yang meninggal dunia pada 6.02 pagi di dalam bilik rumah dua tingkat berkenaan.

Mohamadul Ehsan berkata, tiga motosikal turut terbakar dalam kejadian itu dan punca kebakaran serta nilai kerugian masih dalam siasatan. – AlHijrah Online

Leave a Reply