ARAB SAUDI WAJIBKAN AMBIL VAKSIN COVID-19 BAGI MENUNAIKAN IBADAH HAJI

RIYADH: Kerajaan Arab Saudi menetapkan bakal jemaah haji wajib mengambil suntikan vaksin COVID-19.
Lapor Reuters, Menteri Kesihatan Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah berkata ini merupakan antara syarat utama yang akan dikenakan kepada jemaah haji bagi mencegah penularan COVID-19.
“Vaksin COVID-19 adalah wajib kepada sesiapa sahaja yang mahu menunaikan ibadah haji dan ia akan menjadi salah satu syarat utama haji,” katanya.
Bagaimanapun, Rabiah tidak mengesahkan sama ada jemaah dari luar Arab Saudi dibenarkan untuk menunaikan ibadah haji.
Sebelum ini, Kerajaan Arab Saudi mengurangkan jumlah jemaah haji kepada 1,000 orang bagi mengelak penularan jangkitan COVID-19.
Negara tersebut telah memulakan program vaksinasi COVID-19 pada 17 Disember lalu, yang melibatkan vaksin keluaran Moderna, Pfizer serta AstraZeneca.—AlHijrah Online