
KUALA LUMPUR: Bakal jemaah haji bagi tahun giliran 1448H/ 2027M dan 1449H/ 2028M mula mendapat pesanan SMS serta emel rasmi sebagai persediaan awal bagi menunaikan rukun Islam kelima, hari ini.
Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataannya berkata, peringatan awal tersebut turut dikongsikan menerusi aplikasi THiJARI, selain surat tawaran rasmi bagi menunaikan haji akan dikeluarkan secara berasingan kepada bakal jemaah yang layak mengikut syarak dan prosedur ditetapkan.
“Bakal haji dikehendaki meningkatkan simpanan di TH secara berkala dan konsisten, sekurang-kurangnya RM15,000 diperlukan sebagai penanda aras minimum kelayakan menerima surat tawaran haji.
“Syarat ini mula diperkenalkan sejak musim haji 1447H/ 2026M dan telah memberi kesan amat positif kepada tahap kesiapsiagaan bakal jemaah menerima tawaran haji,” katanya.
Dalam pada itu, TH mengingatkan bakal haji untuk menyemak dan mengemaskini rekod di THiJARI atau di cawangan TH terdekat supaya mudah dihubungi bagi urusan selanjutnya selain mengikuti saluran media sosial dan laman web rasmi TH untuk informasi terkini.
TH menjelaskan, kesemua bakal jemaah disarankan untuk meningkatkan persediaan dari segi kesihatan, kewangan, kemaskini maklumat serta penguasaan ilmu fardu ain dan ibadah haji.
Katanya, persediaan awal dan tersusun adalah penting supaya impian bakal jemaah menunaikan haji tercapai.
“Kos haji bagi musim 1448H/ 2027M masih belum ditentukan, namun pada ketika ini, kos haji bagi musim 1447H/ 2026M berjumlah RM33,000 seorang boleh dijadikan rujukan awal untuk perancangan simpanan selanjutnya.
“TH turut menyediakan kemudahan untuk para pendeposit menyimpan secara berkala melalui potongan gaji dan potongan dari akaun bank (direct debit) di platform THiJARI,” katanya.—AlHijrah Online